Selepas tempoh kuarantin wajib 14 hari Arul Selvaraj berakhir, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini memperkenalkan beliau sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Lelaki Kebangsaan secara rasminya dalam satu sidang media yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato Ahmad Najmi Abdul Razak, hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Arul yang akan mula menyertai sesi latihan pasukan kebangsaan esok menjelaskan, setiap jurulatih pastinya mempunyai fokus untuk membawa pasukan ke arah yang lebih baik dan bagi memastikan perkara tersebut berlaku, beliau akan menerapkan satu pendekatan baru dengan memberikan lebih kuasa kepada pemain ketika di atas padang.

Kuasa penuh yang akan diberikan itu juga adalah sebagai salah satu cara untuk membentuk rasa tanggungjawab di dalam diri pemain dengan prestasi yang telah mereka perlihatkan selain ia juga akan membantu untuk menjadikan pemain tersebut seorang yang lebih berani membuat keputusan di atas padang.

“Sudah tentu setiap jurulatih mempunyai satu fokus yang sama iaitu terus memperbaiki pasukan untuk meletakkan mereka pada tahap yang lebih baik.

“Untuk tempoh terdekat ini saya juga mempunyai satu matlamat di mana saya mahu memberikan kuasa kepada pemain dan membentuk rasa lebih bertanggungjawab dalam diri mereka.

“Walaupun saya memberikan kuasa kepada pemain ketika di dalam padang, tetapi saya masih lagi individu yang mengawal pasukan sepenuhnya dan dengan memberikan kuasa kepada pemain ketika di dalam padang mereka boleh memberikan pandang mengenai satu-satu perkara yang berlaku serta berani untuk membuat keputusan.

“Saya tidak mahu wujudnya situasi di mana sekiranya berlaku sesuatu perkara di dalam padang, pemain akan memandang saya di bangku simpanan untuk menunggu apa yang perlu dilakukan mereka dan saya mahu mengubah tabiat tersebut.

“Saya juga mahu pemain yang mengetuai pasukan atau pemain yang berpengalaman sedar bahawa mereka adalah ketua di atas padang dan perlu mengambil tanggungjawab ketika beraksi.

“Saya bersama barisan jurulatih yang lain akan memilih pemain yang mempunyai kualiti,
pengalaman serta matang untuk menggalas tanggungjawab sebagai individu yang berkuasa di atas padang dan saya telah mengenalpasti beberapa pemain, dalam masa terdekat saya akan memanggil mereka serta meluangkan masa untuk berkongsi dengan mereka mengenai idea ini.

“Saya juga mahu membentuk pemain yang berani untuk berdiri di hadapan dan bercakap apa yang telah mereka lakukan, sama ada perkara tersebut adalah tepat serta mengakui kesilapan yang mereka lakukan selain mengambil tanggungjawab di atas perkara-perkara tersebut sepenuhnya.

“Saya tidak mahu lagi budaya memberikan alasan serta menunding jari menyalahkan pihak lain. Sudah tentu di dalam pasukan kebangsaan saya adalah individu yang bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya apa-apa berlaku tetapi saya mahu pemain bertanggungjawab sepenuhnya dengan prestasi yang mereka tunjukkan,” jelas Arul.

Dalam perkembangan yang sama, Arul menjelaskan selepas tamat Piala Tun Abdul Razak yang dijadualkan bermula 18 September depan, satu perubahan di dalam pasukan kebangsaan akan berlaku dan berkemungkinan terdapat pemain yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan juga yang mungkin digugurkan.

“Saya serta Coach Amin Rahim akan meluangkan masa untuk turun menyaksikan setiap perlawanan pada Piala Tun Abdul Razak nanti dan kami akan menilai prestasi yang dimiliki oleh pemain-pemain.

“Pemain yang menyerlah dengan menunjukkan prestasi permainan yang baik pastinya akan mendapat peluang untuk bersama pasukan kebangsaan.

“Saya boleh katakan satu pasukan baru yang menepati kriteria saya akan dibentuk selepas Piala Tun Abdul Razak kerana pemain yang bersama pasukan selepas itu nanti adalah pemain yang dipilih oleh saya sendiri.

“Seterusnya saya akan membawa pasukan dengan memulakan semuanya daripada awal dengan cara saya sendiri,” tambahnya lagi.

- Advertisement -