Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif Kali Kelapan dan beberapa ketetapan telah dipersetujui di dalam mesyuarat berkenaan.

Antara ketetapan utama ialah pembatalan penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2021 yang dijadualkan berlangsung di Ipoh Perak. Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal bersama Timbalan Presiden, Prof. Dato’ Dr. S. Shamala juga Presiden Persatuan Hoki Perak, Tuan Haji Mohd Sayuti Abdul Samat telah mengumumkan perkara tersebut secara rasmi menerusi satu sidang media yang dijalankan secara aplikasi dalam talian (ZOOM).

Pembatalan penganjuran kejohanan itu terpaksa dilakukan selepas mengambil kira situasi penularan Pandemik Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk beransur pulih dalam masa terdekat dan keputusan tersebut juga telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kejohanan tersebut bagaimanapun dirancang untuk dilangsungkan pada tahun hadapan (2022) pada bulan April.

Namun, sekiranya situasi berubah dan KHM berpeluang untuk menganjurkan kejohanan tersebut pada tahun ini, Dato’ Sri Subahan Kamal menjelaskan bulan Disember 2021 mungkin akan dipilih sebagai tarikh berlangsungnya Piala Sultan Azlan Shah 2021.

Dalam pada itu, Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM hari ini juga telah bersetuju untuk memperkenalkan syarat tambahan baru bagi pemain yang ingin memohon Sijil Tiada Bantahan (NOC) sekiranya mereka berhajat untuk beraksi di liga atau kejohanan luar negara.

Ketetapan baru itu menyaksikan mana-mana pemain yang ingin memohon NOC perlu melalui Persatuan Hoki Negeri masing-masing dan Persatuan Negeri akan menghantar satu pemohonan rasmi kepada KHM.

Tujuan syarat ini diperkenalkan adalah bagi memastikan kebajikan pemain yang berkelana di luar terjaga serta mereka tidak dipergunakan oleh mana-mana pihak ketiga yang cuba mengaut keuntungan.

Antara keputusan lain yang turut dicapai dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif ialah Bendahari KHM, En. S. Selvendran telah membentangkan untuk pembayaran wang kemenangan Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia 2021, dan perkara tersebut telah dipersetujui di mana Isnin (10. Mei. 2021) KHM akan memulakan proses pembayaran kepada pihak yang berkenaan.

- Advertisement -