Aksi kedua Kumpulan B, Piala Asia 2022 Jakarta Indonesia yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno menyaksikan Malaysia menewaskan Korea Selatan 5-4 untuk terus kekal berada di kedudukan teratas Kumpulan B sekaligus melangkah ke pusingan seterusnya (Super 4).

Pada pertemuan dengan Korea Selatan hari ini, pintu gol negara terlebih dahulu diuji dengan dua pukulan sudut penalti yang dimiliki oleh Korea Selatan namun pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan negara termasuk penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman yang tidak gentar mematahkan percubaan lawan.

Minit ke-11, Malaysia membuka tirai jaringan menerusi gol padang Norsyafiq Sumantri yang bijak menggunakan ruang sempit disebelah kiri pintu gol lawan untuk menolok masuk bola menewaskan penjaga gol Korea Selatan, Kim Jaehyeon.

Malaysia menggandakan jaringan pada minti ke-17 selepas kelebihan pukulan sudut penalti yang pertama tidak dipersiakan oleh fliker negara, Muhammad Razie Abd Rahim selepas beliau melakukan satu flik terus untuk gol kedua negara terhasil.

Korea Selatan bagaimanapun memperolehi gol pertama mereka pada minit ke-25 selepas gol pukulan sudut penalti diterjemahkan kepada jaringan oleh Yang Jihun namun Malaysia kembali bangkit untuk menjarakkan kedudukan apabila sekali lagi Norsyafiq Sumantri bijak untuk menggunakan ruang sukar yang dimiliki pada minit ke-28 untuk Malaysia di depan 3-1.

Bersambung suku ketiga, Malaysia terus melebarkan jurang kedudukan apabila kelebihan pukulan sudut penalti keempat berjaya disudahkan oleh Mohamad Ashran Hamsani menerusi tindakan susulan daripada bola muntah pada minti ke-34.

Bagaimanapun dua minit kemudian Korea Selatan kembali merapatkan kedudukan apabila kelebihan penalti stroke yang dimiliki mereka disudahkan oleh Jang Jonghyun  sebelum minit ke-40 menerusi gerakan padang, Kim Sunghyun menjaringkan gol ketiga untuk kedudukan menjadi 3-4.

Minit ke-52, Malaysia sekali lagi memperolehi kelebihan pukulan sudut penalti dan Razie Rahim yang diberikan tugas untuk melakukan flik menterjemahkan kelebihan tersebut kepada jaringan untuk kedudukan berubah 5-3.

Empat minit sebelum  perlawanan sebenar berakhir, kekurangan Malaysia yang terpaksa bermain dengan 10 pemain digunakan oleh Korea Selatan untuk mendapatkan kelebihan pukulan sudut penalti dan hasilnya Yang Jihun menjaringkan gol keempat mereka dan kedudukan 5-4 kekal hingga tamat perlawanan.

- Advertisement -