Skuad hoki kebangsaan negara memastikan perjuangan mereka di Ipoh berakhir dengan noktah kemenangan selepas mengesahkan status sebagai juara Piala Sultan Azlan Shah 2022 apabila menundukkan juara bertahan, Korea Selatan 3-2.

Ia juga sekaligus menamatkan penantian skuad hoki kebangsaan untuk menaiki podium selaku juara sejak ia pertma kali dianjurkan pada tahun 1983.

Skuad kendalian A Arulselvaraj bermula garang apabila pemain kelahiran Sabah, Shello Silverius meletakkan Malaysia didepan 1-0 menerusi jaringan padang.

Namun Jang Jonghyun meyentap kegembiraan Malaysia yang beraksi di laman sendiri apabila menyamakan kedudukan seminit berselang hasil gol pukulan sudut penalti.

Kesilapan Korea Selatan mengundang padah apabila Malaysia kembali didepan hasil penalti stroke pemain berpengalaman negara, Muhd Razie Rahim di minit ke 45 sebelum pemain muda yang diberi peluang beraksi di pentas kompetitif, Muhd Aminuddin Mohd Zain memastikan The Speedy Tigers selesa mendahului 3-1 hasil gol padang tiga minit berselang.

Kurang empat minit sebelum tamat masa sebenar perlawanan, Malaysia terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Muhd Razie Rahim dilayangkan kad kuning sekaligus memberi ruang kepada Korea Selatan yang juga juara tiga kali untuk merapatkan jurang.

Usaha mereka nyata membuahkan hasil apabila pukulan sudut penalti Jeon Byungjin gagal ditepis kemas penjaga gol negara untuk Korea Selatan merapatkan jurang 2-3.

Percaturan Korea Selatan mengeluarkan penjaga gol untuk bermain power play untuk sekurang kurangnya menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila kedudukan 3-2 memihak Malaysia kekal hingga tamat perlawanan.

Sepanjang beraksi di Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia muncul naib juara sebanyak lima kali (1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014) dan dua kali menamatkan saingan ditangga ketiga iaitu pada 1999 dan 2019.

- Advertisement -