Jadual perlawanan final kejohanan badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lengkap selepas tamat perlawanan separuh akhir bagi kategori bergu lelaki.

Aksi final bergu lelaki akan melibatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yii selepas melakar kemenangan ke atas lawan masing masing.

Aaron Chia dan Wooi Yik bangkit daripada kekalahan di set pertama sebelum mengesahkan kemenangan dengan keputusan 16-21, 21-9, 21-19 ke atas gandingan profesional, Goh V Shem – Tan Wee Kiong selepas bertarung selama 38 minit.

“Dari awal permainan kami bermain baik sehingga kedudukan terikat 16 sama kerana bermain dalam tekanan dan banyak melakukan kesilapan mudah,

“Tekanan datang kerana kami belum dapatkan suasana bermain di gelanggang dan ketika latihan tidak dapat perlawanan seperti ini,” kata Wooi Yik.

Sementara itu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii menjangkakan perlawanan yang sengit di pentas final, namun tidak mahu terlalu meletakkannya sebagai tekanan.

Ini kerana mereka hanya mahu memberikan permainan yang terbaik ketika digelanggang.

“Sudah tentu akan sengit tetapi kami hanya mahu bermain dan menikmati perlawanan esok dengan sebaik mungkin. Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam mana mana kejohanan,” kata Yew Sin.

Yew Sin-Ee Yii melengkapkan slot terakhir ke final selepas mudah menundukkan bergu muda, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong dengan kemenangan straight set 21-15, 21-11.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN

Aaron Chia/Soh Wooi Yik – Goh V Shem/Tan Wee Kiong (16-21, 21-9, 21-19)

Ong Yew Sin/Teo Ee Yi – Low Hang Yee/Ng Eng Cheong (21-15, 21-11)

 

JADUAL PERLAWANAN AKHIR

PERSEORANGAN WANITA –  Soniia Cheah lwn Eoon Qi Xuan

BERGU WANITA – Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean lwn Pearly Tan Koong Le-M Thinaah

BERGU CAMPURAN –  Tan Kian Meng – Lai Pei Jing lwn Chan Peng Soon – Goh Liu Ying

PERSEORANGAN LELAKI – Leong Jun Hao lwn Ng Tze Yong

BERGU LELAKI – Ong Yew Sin – Teo Ee Yi lwn Aaron Chia – Soh Wooi Yik

- Advertisement -