Selepas tumbang seawal pusingan pertama tahun lalu, pasangan beregu lelaki utama Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyasarkan tempat ke final Terbuka Malaysia 2024 yang dijadualkan 9-14 Januari di Axiata Arena.

“Kali ini kami tidak berasa tertekan tetapi lebih teruja kerana sudah lama kami tidak bermain di Malaysia (sejak Malaysia Masters Mei lalu). Mudah-mudahan, kami dapat melakukan lebih baik kali ini dan (mencapai) sekurang-kurangnya final,” kata Arron, 26 tahun.

Pada Terbuka Malaysia 2023, Aaron-Wooi Yik telah tumbang di pusingan kedua kepada pemain China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Pada edisi 2022 pula, pasangan itu berjaya mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

“Setiap kali kami bersaing di Malaysia, saya rasa lebih berazam kerana sokongan padu penyokong tuan rumah. Kami berharap peminat akan datang beramai-ramai dari pusingan pembukaan sehingga ke peringkat akhir,” tambah Aaron.

Aaron-Wooi Yik, Juara Dunia 2022, adalah pilihan ketiga dalam Terbuka Malaysia 2024 dan akan membuka kempen mereka menentang pasangan bukan pilihan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pembukaan.

- Advertisement -