Tonggak pertahanan Kedah Darul Aman FC, Akmal Zahir menganggap jurang kedudukan Liga Super masih belum menjamin peluang mereka untuk menang ke atas Perak FC dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia 2023.

Undian Piala Malaysia semalam menyaksikan Kedah bakal melakukan perhitungan dengan Perak dalam perlawanan yang akan berlangsung secara timbal balik.

Akmal bagaimanapun tetap menganggap ia bukanlah laluan yang mudah meskipun Perak pernah tewas dua kali kepada anak buah Nafuzi Zain ini di pentas liga.

Bahkan, dalam perlawanan kalah mati seperti ini pastinya lebih banyak kejutan dijangka berlaku dan amat penting untuk semua pemain tidak memandang rendah mana-mana lawan.

“Saya rasa ia tetap sukar walaupun kami dah pernah menang dua kali dengan Perak dalam liga dan kami tidak boleh ambil mudah cabaran daripada Perak.

“Dalam Piala Malaysia ini pemain-pemain akan memberikan segalanya dan kita tahu aura kejohanan ini memang lagi kuat dari liga, jadi apa-apa sahaja boleh berlaku.

“Undian tadi (semalam) agak seimbang dengan semua perlawanan tetapi saya tahu semua pasukan pastinya akan buat persediaan yang lebih lagi untuk menghadapi Piala Malaysia”, katanya.

Sementara itu, satu lagi pertembungan yang akan mencuri tumpuan adalah aksi antara pasukan “The Giant Killer”, PDRM FC yang akan menentang Selangor FC.

Pemain Selangor, Brendan Gan pula sedar lawan mereka di pusingan 16 ini tidak boleh dipandang enteng selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada PDRM di Liga Super.

Baginya, PDRM cukup cemerlang di benteng pertahanan dan kesilapan sama tidak boleh lagi berulang terutamanya membiarkan lawan meledak jaringan terlebih dahulu.

“Ya, sudah tentu apa jua pasukan yang kami lawan tidak pernah mudah dan apa yang positifnya daripada undian ini adalah kami hanya bermain di sini sahaja memandangkan kami beraksi di stadium yang sama.

“Tetapi berdepan PDRM adalah sukar dan mereka sangat bagus dalam mempertahankan gawang dan anda sendiri dapat lihat bagaimana kami susah nak menembusi mereka.

“Walaupun kita banyak peluang, tetapi ia bukan senang dan sebab itu saya cakap, kalau kita tak boleh nak dapatkan gol awal, lawan akan senang menghukum kita”, katanya.

Saingan Piala Malaysia pada musim ini menghadirkan kelainan dengan penyertaan kali pertama kelab daripada Liga M3 menyaksikan sebanyak 16 pasukan secara keseluruhan akan berentap.

14 pasukan Liga Super dan 2 pasukan tertinggi Liga M3 bakal mempertaruhkan aksi yang akan dimainkan secara timbal balik.

Pertandingan Piala Malaysia 2023 akan bermula pada Ogos dan aksi final dijangka bakal berlangsung pada bulan Disember.

- Advertisement -