Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perlawanan Liga Super 2022 yang menemukan Sri Pahang FC dan Terengganu FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 Mac 2022 (Sabtu) terpaksa ditunda selepas skuad Sri Pahang FC disahkan positif COVID-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya telah menerima laporan daripada wakil Pantai Timur itu pada hari ini di mana seramai 20 pemain dan pegawai telah dijangkiti COVID-19.

Jelas Stuart, kesan daripada insiden itu, Sri Pahang yang bakal menjalani tempoh kuarantin bermula hari ini terpaksa memohon penundaan perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mac 2022 (Selasa) dan perlawanan pertama Piala FA menentang Manjung City FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 12 Mac 2022 (Sabtu).

Katanya lagi, UiTM FC turut berdepan masalah sama apabila 12 pemain didapati positif COVID-19 manakala baki barisan pemain pula berstatus kontak rapat bergejala sekali gus menyaksikan perlawanan Liga Premier menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 5 Mac 2022 (Sabtu) dan aksi Piala FA 2022 bertemu Kuching City FC pada 15 Mac 2022 (Selasa) terpaksa ditunda.

Sementara satu lagi pasukan dari Liga Premier, Perak FC mengesahkan seramai enam pemain positif COVID-19 dan 14 pemain kontak rapat bergejala sekali gus perlawanan bertemu Kelantan United FC di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Mac 2022 (Sabtu) bagi aksi Liga Premier dan pertemuan dengan Kijang Rangers FC di venue yang sama pada 14 Mac 2022 (Isnin) terpaksa ditunda.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu MFL adalah kelab hanya layak untuk memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak COVID-19 atau kontak rapat bergejala.

“Hari ini kami telah menerima laporan berhubung pasukan yang berdepan masalah positif COVID-19 antaranya adalah Sri Pahang FC, Perak FC dan UiTM FC di mana perlawanan ketiga-tiga pasukan ini terpaksa ditunda sehingga mereka selesai menjalani tempoh kuarantin.

“Satu perkhabaran yang amat sukar buat Liga Malaysia yang membuka tirai pada malam ini dan esok. Saya mendoakan kesejahteraan buat Sri Pahang FC, Perak FC, UiTM FC, PDRM FC serta Skuad Projek FAM-MSN dan saya berharap pasukan lain sentiasa mengamalkan SOP bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

“MFL ingin merakamkan penghargaan kepada kelab-kelab yang mengambil tindakan pantas dalam isu gejala COVID-19 ini dan ini membuktikan SOP membabitkan sukan bola sepak berada penyeliaan di peringkat tertinggi bagi memastikan industri Liga Malaysia bebas daripada ancaman wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Semalam MFL mengumumkan dua aksi Liga Premier 2022 iaitu perlawanan Selangor 2 dan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam pada 5 Mac 2022 (Sabtu) dan PDRM FC menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 7 Mac 2022 (Isnin) terpaksa ditunda.

Ini kerana MFL telah menerima permohonan daripada PDRM FC untuk menunda perlawanan di mana seorang jurulatih dan 14 pemain mereka didapati positif dan kontak rapat bergelaja sementara dua jurulatih serta kesemua pemain Skuad Projek FAM-MSN juga ditimpa nasib yang sama.

Jadual perlawanan Piala FA 2022 yang menemukan Skuad Projek FAM-MSN dan Tok Janggut Warriors FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 11 Mac 2022 (Jumaat) dan pertemuan PDRM FC bersama Perlis United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 15 Mac (Selasa) terpaksa ditunda.

- Advertisement -