Setelah tiga kali kempunan beraksi di Sukan SEA sebelum ini, gimnas senior negara, Amy Kwan Dict Weng menjanjikan aksi terbaik darinya di temasya Kuala Lumpur 2017 pada Ogos depan, sekaligus menjadikannya penampilan sulung  yang indah untuk dikenang. 

Gimnas berusia 22 tahun itu berkata, “Saya tersisih dari Sukan SEA Jakarta/Palembang 2011 kerana keretakan di kaki kiri, kemudian pada 2013 gimrama tidak dipertandingkan di Myanmar.

“Selepas Sukan Komanwel (2014), saya letak harapan tinggi untuk beraksi di Sukan SEA Singapura 2015, tetapi saya tidak sempat pulih setelah menjalani pembedahan di buku lali kanan. Pembedahan pertama pada September dan kedua pada November 2014. Selepas itu saya terpaksa berehat enam bulan.”    

Untuk rekod, ketika di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Amy adalah pemenang pingat gangsa berpasukan bersama gandingan Wong Poh San dan Fatin Zakirah Jalany Zain selain menamatkan saingan di tempat keenam kategori individu.

Menambah duka penuntut Universiti Malaya itu, selepas pulih dari kecederaan buku lali, dia terpaksa bergelut pula dengan kecederaan tulang belakang yang menyaksikannya menghabiskan lebih separuh tahun 2016 di bilik rawatan sekaligus wujud kebimbangan mengenai peluangnya beraksi di KL 2017.

 “Tetapi kini saya sudah bebas kecederaan, sangat sihat dan setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Saya anggap tempoh dua tahun yang berlalu satu peluang untuk memperbaiki dan meningkatkan potensi diri.”  

“Saya teruja mahu tampil buat pertama kali (di Sukan SEA) dan melakukan yang terbaik mungkin walaupun saya akui tekanan agak tinggi juga memandangkan kita adalah tuan rumah. Bagaimanapun kita mendapat nasihat dan bantuan yang sewajarnya dari segi mental dan fizikal dari semua pihak.”

Sementara itu, pengurus pasukan, Dr Farrah Hani Imran berkata untuk temasya KL2017 gimrama mensasarkan meraih enam pingat emas daripada lapan pingat yang dipertandingkan sekaligus memperbaiki pencapaian meraih dua emas dan satu perak di Singapura 2015.

“Acara individu menawarkan enam pingat emas manakala dua pingat emas lagi datang daripada acara berkumpulan dan kita sasarkan untuk merangkul enam pingat emas daripada mana-mana lapan pingat yang dipertandingkan.

“Sukan seperti gimrama adalah sukan subjektif, jadi kita tidak tahu apa akan berlaku namun beraksi di hadapan penyokong sendiri sudah tentunya perlu dianggap sebagai satu kelebihan dan memberikan semangat untuk kami memberikan yang terbaik sekaligus memastikan sasaran dapat dicapai,” kata Farrah.

Farrah turut memaklumkan bahawa pasukan gimrama negara akan mendapat sentuhan dua ‘koreographer’ dari Jepun dan Rusia juga bagi memantapkan lagi persiapan semua gimnas negara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -