20160404 - SAM Awards PC-004

20160404 - SAM Awards PC-001

Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) mengangkat martabat Majlis Anugerah SAM-100PLUS  dengan memperkenalkan ‘Anugerah Siebel’ sebagai anugerah utama kewartawanan sukan negara.

Anugerah Siebel – diberi nama sempena Presiden SAM yang pertama, Norman Siebel – dipilih daripada kalangan pemenang enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan setiap tahun.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa, menyifatkan penjenamaan ‘Anugerah Siebel’ sebagai usaha persatuan itu untuk memelihara status anugerah khas untuk warga kewartawanan sukan negara.

“Penjenamaan Anugerah Siebel dibuat setelah mendapat restu daripada ahli keluarga mendiang Norman Siebel – sebagai tanda pengiktirafan kepada mendiang yang merupakan nama besar dalam kewartawanan sukan negara pada dekad 1960an dan menjadi penggerak kumpulan perintis penggiat media sukan yang menubuhkan SAM,” katanya.

Pemenang ‘Anugerah Siebel’ akan menerima sebuah trofi dan wang hadiah RM7,000.00

Sementara itu, dua jaguh dunia dari Pulau Pinang, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David, mengetuai senarai lima calon bersaing untuk Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2015 akan berlangsung pada 13hb April 2016 dan bakal disempurnakan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pencalonan Chong Wei bertunjangkan kemampuan bangkit daripada penggantungan lapan bulan untuk mencatat beberapa pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun lalu, termasuk kejayaan mara ke final Kejohanan Badminton Dunia di Jakarta.

Gelaran utama yang turut diraihnya sepanjang tahun lalu termasuklah Terbuka China, Terbuka Hong Kong, Terbuka Perancis, Terbuka Kanada dan Terbuka Amerika Syarikat.

Nicol, pemenang anugerah yang sama tahun sebelumnya, dicalonkan dalam senarai akhir hasil kejayaan mencipta rekod sebagai Pemain Nombor Satu Dunia untuk tempoh 106 bulan berturut-turut – mengatasi rekod lama yang dipegang pemain New Zealand, Susan Devoy, selain kejayaan memenangi beberapa gelaran sepanjang tahun lalu.

Turut tersenarai dalam senarai lima calon terbaik anugerah itu ialah ratu terjun negara, Pandelela Rinong, jaguh wushu, Loh Jack Chang dan pesilat handalan negara, Mohd Al-Jufferi Jamari.

Pemenang anugerah ini akan menerima hadiah RM10,000 dan sebuah trofi.

20160404 - SAM Awards PC-002

20160404 - SAM Awards PC-005

- Advertisement -