ong.kim.swee

Oleh Muhammad Aiman

Sebelum bertandang ke Jelajah Oceania, keyakinan cukup tinggi disuarakan kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jurulatih serta pemain betapa pasukan negara berada di landasan mengutip mata maksimum dan inilah peluang terbaik melonjakkan ranking negara yang menjunam ke kedudukan terburuk 174 dunia pada Mei.

Dua kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste sebelum itu seakan memberi keyakinan momentum yang tercipta dapat dibawa bersama apabila menentang tiga pasukan ‘kerdil’ dalam arena bolasepak, dalam masa sama memberi bayangan awal betapa bolasepak Malaysia sudah bersedia keluar dari zaman gelap.      

Namun, satu kekalahan mengaibkan di tangan Papua New Guinea – secara kasarnya berada di kedudukan 10 tercorot ranking FIFA – serta kemenangan kurang meyakinkan ke atas New Caledonia mengubah segala keyakinan dan motivasi kepada kebimbangan.

Nada yakin sebelum perlawanan menentang Papua New Guinea, jelas tidak lagi kedengaran ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi ujian terakhir Jelajah Oceania menentang Fiji pada Ahad, pasukan di ranking ke 186 dunia, dan negaranya lebih popular dengan sukan ragbi dan kriket.

Jika sebelum ini, tidak ramai yang berminat mengatakan bahawa Papua New Guinea mempunyai pemain berpangkalan di Eropah, New Caledonia hanya tewas menerusi penalti kepada New Zealand, dan Fiji pula mempunyai skuad B-23 yang bakal beraksi di Olimpik, tetapi kini itulah yang sedang didendangkan.

“Kita tahu Fiji layak ke Sukan Olimpik, selain dari pemain Olimpik mereka saya difahamkan Fiji akan menurunkan separuh dari skuad kebangsaan untuk perlawanan ini, untuk memilih tiga pemain lebih umur bagi mewakili pasukan Olimpik.

“Jadi sama ada ianya pasukan Olimpik, atau pasukan senior saya percaya mereka adalah lebih baik daripada apa yang kita jangkakan. Sudah tentunya mereka mahu membuktikan sesuatu dan menyukarkan kita,” komen Kim Swee menjelang perlawanan esok, sekaligus membayangkan betapa bimbangnya dia dengan sebuah pasukan yang sepatutnya tiada masalah untuk diatasi.  

Bukan mahu menidakkan keupayaan Fiji, malah kekalahan kepada Papua New Guinea telahpun membuka mata kita bahawa tiada pasukan boleh dipandang enteng.

Namun untuk sebuah pasukan yang mana bolasepak adalah sukan nombor satu di negaranya, mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa, gaji pemainnya mencecah puluhan ribu dan bercita-cita mahu kembali mengegar Asia Tenggara – adalah mengecewakan apabila Fiji sudah menjadi satu kebimbangan.

Kim Swee tidak salah untuk berpijak di bumi nyata akan hakikat sebenar kekuatan skuad kebangsaan, tatkala dia sendiri berdepan pelbagai masalah kecederaan serta kekurangan pemain, selain perlu mengambil masa untuk memupuk keserasian dan membentuk gandingan ideal, tetapi dalam masa sama ini membuktikan betapa perjalanan kita masih terlalu jauh.

- Advertisement -