Ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe akan mengumumkan senarai akhir pemain skuad Piala AFF Suzuki 2018 minggu ini setelah membuat penilaian terperinci terhadap prestasi yang telah ditunjukkan kesemua 56 pemain yang dipanggil sepanjang aksi perlawanan persahabatan.

Senarai akhir ini akan kemudiannya beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November sebelum terbang ke Phnom Penh untuk aksi sulung Kumpulan B menentang skuad kendalian Keisuke Honda, Kemboja pada 8 November.

Selepas Kemboja, Malaysia akan menentang Laos (12 November), Vietnam (16 November) dan Myanmar (24 November).

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki adalah pada tahun 2010 dibawah kendalian Datuk K. Rajagobal dengan menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat, dengan Cheng Hoe ketika itu merupakan penolong kepada ā€˜King Gobalā€™.

Sementara itu, bekas pengendali Kedah ini tetap tenang di sebalik sasaran tinggi melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2018 yang diletakkan majikannya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Cheng Hoe menjelaskan dia sedia maklum akan kemahuan FAM yang ingin meningkatkan standard dan menganggap ia sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dipenuhi.

ā€œSebagai jurulatih kebangsaan, saya menganggap KPI tersebut sebagai cabaran serta motivasi buat diri sendiri. Saya fikir, mana-mana jurulatih, apabila menyertai kejohanan sudah pasti mereka mahukan sesuatu (kejayaan) dan begitu juga saya.

ā€œSaya tidak berasa sebarang tekanan dengan sasaran tersebut kerana ketika saya mengambil alih jawatan ini saya sudah pun tahu bahawa saya perlu menaikkan martabat bola sepak negara dan ini adalah sebahagian daripadanya,ā€ katanya.

Sejak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nelo Vingada pada awal tahun ini, Cheng Hoe dilihat begitu aktif melakukan eksperimen dengan memanggil ramai pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan, terbaru pemain naturalisasi pertama Mohamadou Sumareh.

Dia berjaya menoktahkan kemarau kemenangan selama 16 bulan tetapi walaupun begitu setakat ini prestasi pasukan kebangsaan masih lagi belum cukup meyakinkan bahawa mereka mempunyai kekuatan untuk melangkah walaupun sehingga ke separuh akhir.

Sebagai rekod, Harimau Malaya telah beraksi lapan perlawanan di bawah kendalian Cheng Hoe dan menang empat perlawanan serta seri sekali, selebihnya tewas termasuklah kekalahan 0-1 kepada Republik Kyrgyz pada 16 Oktober lalu.

Cheng Hoe bagaimanapun positif dengan peningkatan ditunjukkan dan menjelaskan masih ada masa untuk membentuk sebuah skuad mantap berpewatakan juara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -