Amaran keras daripada pengurusan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap pemain pemain perseorangan khususnya, tiada ruang untuk mereka di Bukit Kiara andai longlai.

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria menjelaskan, mana mana pemain yang gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah sistem kejurulatihan baharu yang diketuai Datuk Misbun Sidek, mungkin akan disingkirkan.

“Saya telah beritahu kepada semua pemain dengan bermulanya sistem kejurulatihan baharu ini, ia merupakan permulaan dan mungkin juga pengakhiran kepada karier sesetengah pemain. Jadi tepuk dada, tanya selera.

“Kita akan meletakkan KPI tertentu. Ramai pemain di luar sana yang menunggu (untuk menyertai BAM) sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” kata Norza.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan pemain dan jurulatih di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

BAM tampak semakin berkeras dengan pemain pemain selepas aksi tidak menentu sekaligus memberi bayangan awal Malaysia mungkin terpaksa menanti untuk satu tempoh yang lama untuk mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei.

Tambah Norza lagi, BAM telah menyediakan segala kelengkapan termasuk jurulatih bertaraf dunia kepada pemain pemain.

Dalam perkembangan lain, Datuk Misbun Sidek yang memulakan tugasnya secara rasmi pada Isnin tidak mahu terburu buru mengatur langkah.

Sebaliknya, beliau bersama sama Hendrawan dan Indra Wijaya yang ditugas untuk mengendalikan perseorangan lelaki mahu melakukan penilaian sepanjang minggu ini.

“Saya mempunyai sedikit pengalaman serta pengetahuan dan ia memang satu bebanan tetapi saya mengambil ini sebagai cabaran. Saya daripada dulu suka dicabar dan akan sentiasa berusaha mencari jalan keluar,” kata Misbun.

Datuk Misbun tidak asing didalam gelanggang badminton di Malaysia kerana menjadi watak penting dalam menaikkan nama serta mengembangkan bakat Datuk Lee Chong Wei yang Berjaya memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England sebelum melepaskan jawatannya pada penghujung 2010. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -