Malaysia terus mara ke hadapan dalam saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE), selepas menewaskan Kazakhstan 5-0 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B

Pada perlawanan di Pusat Pameran Dubai itu, pemain perseorangan wanita negara Wong Ling Ching memastikan mata pertama diperoleh, selepas mudah menewaskan Aisha Zhumabek 21-6 dan 21-13 dalam tempoh 21 minit.

Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao kemudian melebarkan jurang mata 2-0 ke atas pasukan lawan, selepas memenangi perlawanan perseorangan lelaki menewaskan Dmitriy Panarin 21-12 dan 21-16.

Mata ketiga buat negara terus dikutip menerusi beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, selepas menundukkan Nargiza Rakhmetullayeva-Kamila Smagulova 21-7 dan 21-7, dalam tempoh 19 minit.

Malaysia kian selesa dengan meraih mata keempat dan kelima masing-masing menerusi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Khaitmurat Kulmatov-Artur Niyazov 21-5 dan 21-17 diikut beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang menewaskan Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek 21-9 dan 21-10.

Malaysia bakal berdepan India bagi perlawanan penentuan juara / naib juara peringkat Kumpulan B hari ini.

- Advertisement -