Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berpendapat, Malaysia boleh dianggap gagal andai gagal mara ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada 15-20 Februari depan.

Zii Jia mahu rakan sepasukan memanfaatkan kelebihan yang ada kerana ketiadaan pemain pemain utama dalam pasukan pasukan yang mengambil bahagian.

“Saya bukan nak bagi tekanan namun kebanyakan pasukan lain hantar barisan kedua pemain, sudah tentu bagi saya mahu juara atau sekurang-kurangnya ke final.

“Kalau tak ke final bermakna kita gagal, saya juga gagal, sebab barisan pemain kita paling kuat,”katanya kepada pemberita selepas menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara menjelang BATC, hari ini.

Skuad lelaki negara diundi bersama sama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dalam Kumpulan B sementara juara tiga kali Indonesia (2016, 2018, 2020), India, Korea Selatan dan Hong Kong yang diundi dalam Kumpulan A.

Nama nama besar dalam arena badminton antaranya Kento Momota dan pasangan beregu lelaki nombor empat dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, selain beberapa pemain utama Indonesia seperti Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie dan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, sah tidak akan menyertai kejohanan itu.

Sementara China, Thailand dan Taiwan menarik diri sekaligus menyaksikan format kejohanan telah diubah dengan tiada saingan peringkat suku akhir.

Mengulas mengenai perlawanan tumpuan antara beliau dan Loh Kean Yew dari Singapura, Zii Jia nyata bersedia untuk bertarung dengan juara dunia 2021 dalam pertemuan yang disifatkannya sangat penting baginya untuk menyumbang mata pertama buat Malaysia menentang pasukan dari negara republik dalam Kumpulan B nanti.

Selain Zii Jia, turut disenarai bagi perseorangan lelaki; Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong.

Sementara pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula akan mengetuai gandingan bergu bersama sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul bagi kategori perseorangan, manakala beregu diwakili Pearly Tan-M. Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

- Advertisement -