BEN103

Oleh Muhammad Aiman

Hampir setahun namanya hilang dari radar bolasepak tempatan akibat kecederaan, Norfarhan Mohd dilihat sudah bersedia untuk kembali memperkuatkan barisan depan pasukan Kelantan apabila saingan Liga Super kembali bersambung bulan depan.

Norfarhan atau lebih sinonim dengan gelaran Ben10 di kalangan penyokong The Red Warriors ketika ini berada pada fasa terakhir pemulihan kecederaan tendon tumit yang dialaminya ketika menentang T-Team dalam saingan Piala Malaysia September tahun lalu.

Begitu lama tersisih, penjaring terbanyak TRW dalam saingan Liga Super musim lalu itu nyata semakin tidak sabar untuk turun beraksi buat kali pertama musim ini sekaligus memberi solusi tambahan kepada ketumpulan sentuhan penyudah pasukan Kelantan musim ini.

“Ketika ini proses pemulihan saya sudah sekitar 70-80 peratus. Dalam keadaan sekarang proses pemulihan kecederaan berjalan dengan baik. Saya sedang bekerja keras untuk mengembalikan tahap kecergasan ke tahap tertinggi dan Inshaallah perlawanan pertama sejurus liga bersambung, saya sudah boleh beraksi,” katanya.

Norfarhan boleh dikatakan sebagai antara pemain kesayangan peminat di Kota Bharu di mana bekas penyerang Terengganu itu membentuk gandingan tiga serangkai serasi serba mantap bersama Badhri Radzi dan Indra Putra Mahyuddin yang menjadi tunjang kekuatan TRW sejak beberapa tahun lalu.

Meskipun bakal berdepan kesukaran untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama apatah lagi jurulatih Velizar Popov belum mengenali cara permainannya, Norfarhan menganggap ia sebagai situasi normal dalam bolasepak dan bersedia membuktikan kredibilitinya.

“Persaingan adalah perkara biasa dalam bolasepak, pada saya siapa yang kerja kuat dia yang akan memenangi hati jurulatih. Malah Popov sendiri pernah mengatakan bahawa siapa yang mengutamakan kerjasama berpasukan dan bukannya individu, pemain itulah yang akan diturunkan,” ujar penyerang berusia 32 tahun itu.

Selain Norfarhan, penyerang lain dalam pasukan Kelantan adalah pemain import Blazhe Ilijoski, Khairul Izuan Rosli, Fakhrul Zaman Zawawi dan Abdul Manaf Mamat yang turut belum dapat beraksi musim ini kerana kecederaan manakala Dramane Traore telah ditamatkan kontraknya baru-baru ini.

- Advertisement -