annuar.musa

Oleh Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mungkin terlalu sibuk berpolitik sehinggakan beliau tidak ada masa untuk mengetahui bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah banyak membantu KAFA untuk terus ‘bernafas’ dalam saingan Liga Malaysia.

Mungkin itu kesimpulan yang boleh dibuat setelah mendengar penjelasan Setiausaha Agong FAM, Dato’ Hamidin Amin yang menyangkal dakwaan Annuar bahawa badan induk itu tidak pernah membantu KAFA dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji bekas pemainnya.

“Saya rasa Tan Sri (Annuar) tidak betul. Saya secara peribadi telah berbincang dengan Dato’ Ismail (Setiausaha Agung KAFA) dan Dato’ Rosmadi (naib presiden KAFA) sudah beberapa kali sejak daripada mula untuk bantu selesaikan isu ini.

“Malah saya sendiri yang telefon, pertemuan pun ada sekali dua kita buat di FAM, tapi melalui telefon memang selalu berhubung. Saya dan FAM memang selalu bantu sehingga satu tahap yang kita kira sudah cukup maksimum. Saya rasa tidak perlu untuk saya tunjukkan bukti, tapi kalau mahukan bukti saya boleh tunjuk,” tegas Hamidin.

Tambah Hamidin lagi, “Isu membabitkan Kelantan ada tiga, iaitu Gilmar, Steve Darby dan terbaru lima bekas pemain. Itupun kita dah tolong mereka bawa ke jawatankuasa status, buat rayuan, dapat diskaun, dan bagi tempoh yang lebih panjang untuk mereka cari duit sebab kita memahami masalah mereka,” tegas Hamidin. 

Minggu lalu, Annuar membidas FAM sebagai badan induk yang hanya tahu mengenakan hukuman dan tidak pernah mengambil inisiatif untuk duduk berbincang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ahli gabungan.

Dakwaan Annuar itu hadir setelah Football Malaysia Limited Liability Partnership mencadangkan kepada FAM agar tindakan pemotongan mata dikenakan ke atas Kelantan selain berdepan penyingkiran dari Liga Malaysia kerana gagal menjelaskan tunggakan gaji lima bekas pemainnya pada musim lalu iaitu Fakri Saarani, Amar Rohidan, Nazri Ahmad, Fitri Omar dan Amiridzwan Taj.

Hamidin berkata isu gaji lima pemain tempatan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dalam masa terdekat, manakala bagi kes melibatkan bekas pemain import dari Brazil Gilmar Filho Da Silva yang telahpun dibicarakan oleh jawatankuasa status, akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM. 

“KAFA masih berhutang US$89,000 dan RM3,000 (penalti) kepada Gilmar yang kini bermain untuk Sarawak, selain hutang sebanyak RM165,000 kepada Steve Darby dari jumlah sebenar lebih RM600,000.

“Untuk kes Gilmar, KAFA sepatutnya selesaikan pada 15 April, tapi mereka buat rayuan sehingga 30 April namun sehingga sekarang belum selesaikan bayaran. Manakala bagi kes pemain tempatan, mereka telah bersetuju buat pembayaran berjadual tetapi hanya bayar bagi bulan Mac, manakala April dan Mei tiada bayaran.

 “Apabila kes sudah dibawa ke jawatankuasa tatatertib, jawatankuasa tatatertib perlulah memberi satu tarikh lagi. Mungkin selama seminggu, dua minggu, tiga minggu, sebulan saya tidak pasti. Kalau selepas itu tak selesai juga, barulah tindakan akan diambil,” katanya.

Justeru Hamidin menegaskan bahawa KAFA perlu bersedia berdepan sebarang tindakan atau keputusan dari Jawatankuasa Tatatertib FAM seandainya terus gagal untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Ini termasuklah pemotongan mata, sekatan pendaftaran pemain baru di pintu perpindahan, dikenakan hukuman denda, diturunkan divisyen dan akhir sekali tidak dibenarkan bertanding pada musim akan datang sepertimana yang termaktub dalam artikel 12 dan 67 kod tatatertib 2015

“Secara peribadi, kalau boleh saya mahu tindakan diambil kerana atitud persatuan ni selagi kita tak ambil tindakan, sekadar memberi amaran, selagi itulah mereka akan buat sambil lewa,” ujar Hamidin.

- Advertisement -