Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan pemburuan gelaran Liga Super kesembilan berturut-turut dengan mencatakan kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Skuad Harimau Selatan yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah menerusi kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada minggu lepas, bagaimanapun terpaksa bekerja keras dengan serangan bertali arus untuk memecahkan kubu pertahanan Penang bagi mencari jaringan berharga itu.

Selepas berusaha selama 70 minit, pemain import dari Brazil Bergson da Silva berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi.

Dalam pada itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengutip tiga mata selepas mengatasi pendatang baharu liga, Sarawak United FC menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Negeri, Kuching hasil jaringan pemain import dari Cameroon Ronald Ngah pada minit ke-16.

Di Kota Kinabalu, Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dan deretan peluang terhidang apabila kalah 0-1 kepada juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Likas.

Sabah mendapat peluang terbaik untuk mencipta gol apabila pengadil Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-47, selepas penyerang Neto Pessoa dikasari penjaga gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dalam kotak penalti, namun sepakan penyerang import dari Brazil itu diselamatkan oleh Ahmad Syihan.

N Sembilan berjaya mengesahkan tiga mata apabila pemain pertahanan, Khair Muhammad Jefri Jones merembat masuk sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee, yang gagal dikeluarkan oleh benteng pertahanan Sabah pada minit ke-52.

Sementara itu, aksi derbi Lembah Klang yang penuh dramatik antara KL City dan Selangor FC berkesudahan dengan terikat 3-3 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pada perlawanan yang tertunda lebih kurang 40 minit akibat hujan lebat itu, Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan Hyuri Henrique pada minit ke-18, namun skuad The City Boys berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak jauh Zhafri Yahya selang seminit kemudian.

The Red Giants sekali lagi mendahului menerusi sepakan penalti Herlison Caion pada minit ke-27, apabila penyerang import dari Brazil itu dijatuhkan dalam kotak penalti oleh D. Kenny Pallraj.

Bagaimanapun, keriangan itu tidak bertahan lama apabila KL City sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Hadin Azman yang menanduk masuk hantaran lintang Paulo Josue pada minit ke-32, sebelum rembatan dari luar kotak penalti Ryan Lambert pada minit ke-60 meletakan pasukan tuan rumah di hadapan.

Skuad kendalian Bojan Hodak terus ditimpa malang apabila pengadil perlawanan Fitri Maskon melayangkan kad merah kepada Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-73 selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain Selangor.

Selangor sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Muhammad Irfan Zakaria, menyaksikan Caion tampil menyempurnakan sepakan pada minit ke-78 menewaskan penjaga gol tuan rumah Kevin Ray Mendoza.

 

- Advertisement -