Pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Australia menyaksikan aksi hambar daripada gandingan bergu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tewas semalam.

Dilabel selaku pilihan keempat, V Shem dan Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 tewas di tangan pasangan Takuto Inoue-Yuki Kaneko dalam pertarungan tiga set.

Meskipun menang 21-16 di set pembukaan, aksi kurang yakin dipamer Goh V Shem dan Tan Wee Kiong apabila tewas di dua set berikutnya 13-21, 13-21 selepas bertarung selama 49 minit.

Prestasi hambar bergu lelaki negara bagaimanapun diubat oleh pasangan bergu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengejutkan jaguh Olimpik Rio Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

Perlawanan semalam ibarat misi balas dendam buat Kian Meng dan Pei Jing yang dikecewakan di peringkat suku akhir.

Bergu campuran negara memerlukan 39 minit untuk menutup pusingan pertama dengan kemenangan straight set 21-17, 21-16.

Satu lagi bergu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See terdahulu bangkit daripada kelakahan di set pertama untuk mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selepas mengatasi Takuro Hoki-Sayaka Hirota dengan keputusan 14-21,21-19, 21-14.

Bergu lelaki kedua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut sama mengikuti jejak Peng Soon-Yee See ke pusingan kedua selepas menang ke atas bergu lelaki tuan rumah Simon wing Hang Leung-Mitchell Wheller straight set 21-6, 21-11.

Acara perseorangan lelaki pula menyaksikan wakil tunggal negara, Zulfadli Zulkifli meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya selepas menang ke atas wakil Jepun, Takuma Ueda 21-18, 21-19.

Manakala wakil tunggal perseorangan wanita, Sonia Cheah Su Ya turut melangkah ke pusingan kedua selepas menang straight set 21-14, 21-15 ke atas pemain Hong Kong Cheung Ngan Yi. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -