Beregu muda lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri reda terpaksa melupakan hasrat untuk merangkul kejuaraan sulung di Kejohanan Masters Orleans di Perancis, selepas seorang daripada mereka didapati positif COVID-19, semalam.

Kedua-dua mereka menyifatkan perkara itu sesuatu yang pahit untuk diterima namun sudah mula meletakkan sasaran baharu menjelang penyertaan pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei ini.

“Saya sendiri tidak tahu daripada mana saya terkena jangkitan itu dan hanya diketahui selepas pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memaklumkan kepada jurulatih kami.

“Tidak menyangka akan keputusan itu namun saya percaya mungkin ada hikmah lebih besar menanti dalam pertandingan lebih besar,”kata Muhammad Haikal

Senada dengan Haikal, Wan Arif berkata dirinya juga reda dengan keputusan itu selain tumpuan kini beralih buat pasangan dengan julukan “Patatimo Boys” itu kepada cabaran di Sukan SEA Hanoi.

Beregu Malaysia itu semalam terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada pasangan beregu Belanda Ruben Jille-Ties Van Der Lecq, selepas Muhammad Haikal didapati positif COVID-19 beberapa jam sebelum aksi final bermula.

Arif dan Haikal mara ke final selepas menumpaskan gandingan tuan rumah Eloi Adam-Julien Maio dalam aksi separuh akhir.

 

- Advertisement -