MHC.logoOleh Ku Mohd Lufti

Konfederasi Hoki Malaysia memutuskan untuk melantik Brian Gerard Fernandes sebagai Pengerusi Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia bagi menyelaras  semua pertandingan yang berada dibawah KHM.

Ia juga salah satu langkah dalam menstruktur semula program pembangunan dan perlawanan peringkat akar umbi agar lebih efisien dan bergerak mengikut hala tuju yang ditetapkan oleh KHM.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, pengalamannya yang luas dalam mengendalikan pertandingan antara salah satu faktor KHM memilih Brian untuk mengisi jawatan tersebut.

Jawatan itu sebelum ini dipegang Hashim Yusoff yang juga setiausaha KHM, namun beliau telah melepaskan jawatannya tahun lalu, beberapa bulan selepas perlantikan Datuk Seri Subahan Kamal sebagai Presiden baharu KHM.

“Saya tidak mahu KHM membentuk jawatankuasa sementara bagi mana mana pertandingan dalam tempoh setahun.  Dalam tempoh 3 tahun, kami sudah seharusnya mempunyai perancangan tentang sesebuah kejohanan seperti lokasi kejohanan dan jawatankuasa yang terlibat,” kata Subahan.

Fernandes juga pernah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Konfederasi Hoki Asia dan pegawai teknikal ketika sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2011.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Subahan turut mengumumkan perlantikan K Embaraj sebagai koordinator kejurulatihan program hoki 1 Malaysia.

“Tugas Embaraj agak sukar kerana beliau perlu bergerak diseluruh negara untuk memantau jurulatih dalam program Hoki 1 Mas. Kita tidak mahu laporan sahaja, dia akan memantau adakah apa yang dilaporkan benar benar dijalankan,” tambah Subahan lagi.

- Advertisement -