sarawak.fans

Oleh Muhammad Aiman

Tatkala ramai menjangkakan prestasi suram di sepanjang saingan Liga Super musim ini akan memaksa Sarawak bergiat aktif di pintu perpindahan kedua Liga Malaysia, mereka sebaliknya sudahpun mengakhiri aktiviti perpindahan lebih awal dengan sekadar melakukan satu sahaja pertukaran pemain.

Jurulatih, David Usop yang pantas membawa impak sebaik dilantik memangku tugas Datuk K. Rajagobal berkata sang bujang senang yang menamatkan aksi sebelum liga berehat panjang di tangga ke-12, telah membawa masuk pemain pertahanan dari Liberia, Teah Dennis untuk menggantikan Davide Grassi.

“Saya merasakan bahawa kami hanya perlu memperkemaskan pertahanan, sebab itu rombakan dibuat di barisan pertahanan dengan mengambil Dennis. Lagipun, saya tidak merasakan terlalu banyak pertukaran di pertengahan musim adalah suatu tindakan yang bagus.

“Tiga lagi pemain import Gilmar (Da Silva), Makeche (Ndumba) dan Junior (Aparecido) telah beraksi dengan baik dan saya yakin mereka akan terus bantu perjuangan pasukan sehingga akhir musim,” ujar David.   

David yang sebelum ini merupakan penolong kepada Rajagobal, mengalas tanggungjawab sebagai pemangku bermula 7 Mei, dan dia telahpun dilantik secara rasmi sebagai jurulatih Sarawak pada Isnin lalu.

Sarawak menang kedua-dua perlawanan di bawah bimbingan David, iaitu menewaskan Perak 3-2 di Kuching dan kemudiannya 3-0 di Ipoh untuk melonjak tiga anak tangga dari kedudukan tercorot yang dihuni mereka sejak awal musim, dan mengesahkan tiket beraksi di Piala Malaysia penuh dramatik.

David menjangkakan baki saingan Liga Super, yang akan berlangsung serentak dengan Piala Malaysia menjanjikan cabaran yang lebih sukar apatah lagi kesemua pasukan telah merebut kesempatan untuk mengenalpasti kelemahan seterusnya memperkuatkan pasukan dengan membawa pasukan pemain-pemain baru.

Sarawak akan berdepan Kedah di Alor Star pada 13 Julai ini dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia, sebelum bertemu Pahang bagi aksi Liga Super pada 16 Julai.

- Advertisement -