Badan induk badminton dunia (BWF) akhirnya ‘tunduk’ dan akur untuk menunda kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang sepatutnya dijadual berlangsung pada awal Oktober depan.

Penarikan diri Indonesia yang menjulang trofi Piala Thomas sebanyak 13 kali serta Thailand, Australia, Taiwan dan Korea Selatan dilihat antara faktor BWF membuat keputusan untuk menunda kejohanan dwi tahunan ini.

Malah, Malaysia juga baru baru ini mendesak BWF untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk menganjurkan Piala Thomas dan Piala Uber yang dijadual berlangsung di Aarhurs, Denmark.

Desakan dibuat susulan pandemik Covid 19 yang masih melanda global dan tidak menunjukkan sebarang petanda bakal berakhir.

Barisan pemain dan pengurusan pasukan juga tampak tidak yakin terhadap jaminan keselamatan daripada jangkitan Covid 19.

Namun, penundaan Piala Thomas dan Piala Uber tidak menjejaskan perancangan BWF dimana menerusi kenyataan media hari ini, Terbuka Denmark yang akan berlangsung di Odense bermula 13 hingga 18 Oktober depan akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Kejohanan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan protokol keselamatan dan prosedur operasi COVID-19 bagi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Kejohanan kedua yang dijadualkan berlangsung di Odense iaitu Victor Denmark Masters 2020 dari 20 hingga 25 Okt ini bagaimanapun dibatalkan,” kata BWF yang turut memaklumkan yang ia akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap tiga kejohanan Asia berdasarkan kalendar Jelajah Dunia yang telah diubah suai.

Tahun 2020 mungkin detik yang malang buat arena sukan dunia ketika ini kerana kebanyakkan sukan hanya sesuai berlangsung diperingkat kebangsaan sahaja.

Saingan antarabangsa tampak masih sukar untuk dimulakan dalam tempoh ini dan BWF mungkin sudah sedia maklum risiko cukup tinggi jika mereka tetap mahu meneruskan penganjuran kejohanan antarabangsa.

Malah, pemain pemain juga tampak enggan mengambil risiko untuk mengambil bahagian di mana mana kejohanan antarabangsa yang telah dirancang oleh BWF kerana gusar dengan keselamatan mereka.

Dengan majoriti besar negara negara masih ‘menutup’ pintu masuk untuk mengekang penularan Covid 19, mungkin lebih baik jika BWF menyarankan ahli gabungan untuk mengadakan kejohanan dalaman untuk mengekalkan kecergasan pemain pemain.

 

 

 

- Advertisement -