Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin melaungkan cabaran kepada dua atlet Para negara, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latiff Romly untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA ke 29 bulan depan.

Selepas kejayaan bersejarah di Sukan Paralimpik London 2016, cabaran kini ialah bagi kedua-dua atlet lontar peluru dan lompat jauh Paralimpik itu melakar kejayaan bersejarah pada Sukan SEA KL2017.?

“Sasaran kini ialah bagi Ziyad dan Latif melakar kemenangan di pentas Sukan SEA bulan depan kerana kita nak buktikan mereka boleh mencabar daripada saingan Para kepada saingan atlet normal,” kata YB Brig Jen Khairy.

Ketika ini, catatan Ziyad meletakkan beliau di tahap pingat perak tetapi pencapaian di Olahraga Para Dunia di London baru-baru ini seharusnya memberi dorongan buat beliau meraih emas.

“Bayangkan daripada kita tiada sasaran pingat untuk lontar peluru, sekarang ada peluang secara realistik untuk meraih pingat emas Sukan SEA daripada atlet Para…ini cerita sebenar untuk Ziyad dan Latiff.

“Cabaran seterusnya ialah bagi mereka melakar sejarah menang pada Sukan SEA nanti,” kata YB Brig Jen Khairy.

Ziyad dan Abdul Latif mengulangi kecemerlangan di Olahraga Para Dunia di London baru baru ini. Ziyad meraih emas selepas memperbaharui rekod acara lontar peluru F20 miliknya sejauh 17.29 meter, memadamkan rekod lama 16.48 meter di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Manakala Abdul Latif Romly melakukan lompatan sejauh 7.37 meter, mengatasi catatan lama 7.35 meter pada kejohanan Dunia di Doha 2015.

- Advertisement -