chong.wei

Oleh Muhammad Aiman

Jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei sedia berdepan siapa sahaja lawan yang berada dalam laluannya dalam misi memburu pingat emas pertama peribadi, juga emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik, sekalipun ianya adalah seteru utamanya dari China, Lin Dan.

Undian Olimpik Rio pada Selasa, menyaksikan Chong Wei dan penyandang pingat emas Lin Dan bakal memperbaharui permusuhan buat kali ketiga di pentas olimpik, namun tidak seperti dua edisi sebelumnya mereka dijangka dipertemukan lebih awal di pentas separuh akhir.

Meskipun pemain nombor satu dunia itu tidak berminat memperkatakan tentang pertembungan epik bersejarah yang bakal menjadi tumpuan utama peminat badminton dunia itu, semangatnya tetap membara mahu menebus hampa dua kali kepada penyandang emas olimpik itu yang mengecewakannya di Beijing 2008 dan London 2012.

“Saya tidak mahu fikir tentang separuh akhir atau Lin Dan, saya mahu fokus dari satu ke satu perlawanan. Fokus dulu pada peringkat kumpulan, pada saya memang undian ini OK, nampak mudah tetapi ini olimpik, semua pemain berikan yang terbaik, saya tidak boleh memandang rendah siapapun.

“Jika saya dan dia (Lin Dan) tepati ramalan dan jumpa di separuh akhir, saya bersedia memberi tentangan kepadanya. Untuk capai sasaran emas, saya perlu kalahkannya, saya tidak boleh memilih lawan dan perlu bersedia berdepan sesiapa sahaja. Saya percaya dengan sokongan berterusan dari peminat-peminat sukan tanah air, saya akan main lebih bersemangat. Ini adalah olimpik terakhir saya, memang impian saya mahu tutup tirai olimpik dengan satu sejarah.”

Chong Wei bercakap kepada pemberita selepas mengetuai pertemuan atlet olimpik negara bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putra Perdana pada Rabu.

Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Najib meletakkan keyakinan tinggi ke atas Chong Wei yang meraib pingat perak di dua edisi lepas untuk menoktahkan penantian panjang kontijen negara untuk memenangi emas pertama olimpik.

Di Rio nanti, kelebihan tampak sedikit memihak kepada Chong Wei yang dijangka tidak berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir, apabila dia yang turun selaku pilihan utama akan berdepan Soren Opti dari Surinam dan Deren Wok dari Singapura dalam Kumpulan A, dan kemudiannya Chou Tien Chen dijangka menantinya di suku akhir.

Berbeza bagi Lin Dan yang merupakan pilihan ketiga, dia bukan sahaja akan beraksi lebih satu perlawanan dalam Kumpulan B yang membabitkan Vladimir Malkov, David Obernosterer dan Nguyen Tien Minh, tetapi dijadual berdepan aksi suku akhir yang mencabar dengan pilihan kelima Jan O Jorgenson menantinya.

Pemain pilihan kedua, Cheng Long pula boleh menarik nafas lega apabila dipisahkan dari bertemu Chong Wei mahupun Lin Dan sehingga ke perlawanan akhir – Cheng Long dihadiahkan laluan mudah dalam Kumpulan P, diundi bersama Kevin Cordon, Adrian Dziolko dan Niluka Karunaratne, dan kemudiannya dijadual berdepan Son Wan Ho di suku akhir serta Victor Axelsen di separuh akhir.

- Advertisement -