Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir

Oleh Muhammad Aiman

Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying akan turun dalam aksi final lewat malam ini, bukan sahaja mahu mengecap kejayaan peribadi, tetapi membawa bersama doa jutaan rakyat Malaysia yang berharap pasangan itu akan akhirnya menamatkan penantian panjang mengucup pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Gandingan itu melakar sejarah muncul pasangan beregu campuran pertama negara mara ke final temasya sukan terbesar dunia itu setelah mengejutkan finalis empat tahun lalu, Xu Chen/Ma Jin di separuh akhir sekaligus menjanjikan setidak-tidaknya pingat perak dalam genggaman.

Untuk mereka pulang ke tanah air selaku pemenang emas pertama negara, pastinya memerlukan satu lagi aksi luar biasa apabila berdepan bekas juara dunia, juga pasangan nombor tiga dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad dan Lilyana Natsir yang berdiri sebagai halangan terakhir.  

Namun, ramalan di atas kertas, mahupun rekod pertemuan ternyata tidak menyebelahi mereka. Dalam lapan pertemuan sebelum ini, gandingan negara tewas tujuh kali termasuk di final Terbuka Malaysia April pada April dan terbaru ketika pertembungan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan beberapa hari lalu.

Kali terakhir pasangan negara menewaskan Tontowi dan Lilyana adalah di separuh akhir Terbuka China pada pada 17 November 2012.

Menurut Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, dia tidak pernah khuatir dengan keupayaan Peng Soon dan Liu Ying untuk melangkah sehingga ke final, mengambil kira prestasi cemerlang dan konsisten ditunjukkan beregu nombor 11 dunia itu.

“Saya tidak akan kata saya sudah menjangkakannya, tapi saya boleh kata saya mengharapkannya. Saya telah ditanya banyak kali dalam mesyuarat BAM, apakah peluang dan sasaran kita di Olimpik. Saya katakan Chong Wei akan menang kerana dia adalah yang terbaik, dan selepas itu saya katakan peluang kita yang terbaik adalah menerusi beregu campuran.

“Mereka telah membuktikan apa boleh mereka lakukan di sini. Mungkin di final peluang kita sukar, pasangan Indonesia adalah pilihan dan sukar digugat tetapi ianya tidak mustahil. Cuma tahap mereka adalah sedikit lebih tinggi dari kita,” jelas Frost.

Untuk rekod, Tontowi dan Lilyana mara ke final setelah menyingkirkan juara bertahan juga dari China, Zhang Nan-Zhao Yunlei dalam satu lagi aksi separuh akhir sekaligus menyekat China dari menyapu bersih kesemua lima pingat emas badminton sepertimana empat tahun lalu. 

Andai Peng Soon dan Liu Ying mahu menamatkan badi mereka ke atas Tontowi dan Lilyana, maka tiada detik yang lebih baik untuk melakukannya melainkan pada final Olimpik yang cukup bersejarah di bumi Rio De Janeiro. Ayuh buktikan, Malaysia Boleh!

- Advertisement -