Eain.Yow

Oleh Muhammad Aiman

Kali terakhir Malaysia memenangi gelaran perseorangan lelaki di Kejohanan Skuash Remaja Dunia, adalah pada 1998 – pada tahun Ng Eain Yow dilahirkan – menerusi bekas pemain yang kini jurulatih kebangsaan Ong Beng Hee.

Beng Hee muncul juara di Princeton, Amerika Syarikat setelah menewaskan pemain Mesir, Wael El Hindi dan sejak itu, dia kekal satu-satunya pemain negara pernah mengecap nikmat bergelar juara.

Kini, Eain Yow tekad mahu menoktahkan penantian panjang selama 18 tahun dalam acara perseorangan lelaki apabila membawa cabaran negara di Poland bermula 6 -17 Ogos depan, sekaligus menebus kecewa tahun lalu yang mana dia tersingkir di peringkat separuh akhir.

“Memenangi gelaran remaja dunia adalah misi utama saya, saya telah bekerja keras untuk mencapai sasaran itu sepanjang tahun ini, dan sejak kekalahan kepada Diego (Elias) di separuh akhir tahun lalu,” kata Eain Yow yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak baru-baru ini.

Tambah juara Terbuka Remaja British tiga kali itu, “Saya boleh katakan persiapan saya di landasan tepat setelah kemenangan di SUKMA baru-baru ini. Memang kalau tengok pada undian, tiada laluan mudah kerana ini adalah satu kejohanan besar. Sudah tentunya ada tekanan.

“Tapi ia lebih kepada tekanan yang saya letak ke atas diri sendiri untuk merealisasikan impian bergelar juara, kerana semua yang lain seperti jurulatih hanya mahu saya pergi bertanding dan lakukan sebaik mungkin di kejohanan remaja terakhir saya ini.”

Eain Yow yang diletakkan sebagai pilihan kedua, mendapat bye di pusingan pertama dan dijangka bertemu sama ada pemain tuan rumah Mateusz Osojca atau pemain New Zealand Finn Trimble di pusingan kedua.

Selain pemain berusia 19 tahun itu, turut membawa cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki di Bielsko-Biala adalah Farez Izwan, Ong Sai Hung dan Marcus Sim – ketiga-tiganya tidak diletakkan sebagai pilihan dan akan berdepan pemain pilihan di pusingan awal.

Sementara bagi acara wanita, cabaran negara digalas oleh S.Sivasangari, Andrea Lee, Zoe Foo dan Aifa Azman yang membawa misi memenangi gelaran yang pernah dijulang dua kali oleh ratu skuash negara, Dato’ Nicol David pada 1999 dan 2001.

- Advertisement -