floorball.1

Oleh Muhammad Aiman

“Saya tidak mahu komen apa-apa, saya tidak sangka mereka boleh cakap sampai begitu sekali, saya telah memainkan peranan sebaik mungkin untuk membantu mereka, jika betul mereka mahu tuduh saya sebagai punca, saya minta mereka datang cakap depan saya bukannya melalui media.

“Saya tidak mahu dengar kenyataan dia di media sebab saya mahu tahu apa sebenarnya yang dia cakap. Betul ke dia kata saya tidak membantu, dia tahu apa yang telah saya lakukan. Saya tidak perlu risau kerana saya tahu kebenaran di pihak saya dan ia akan terserlah nanti.”

Demikian reaksi Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo kepada Sports247 berhubung kenyataan Persatuan Floorball Malaysia (PFM) menerusi Timbalan Presidennya, Dzul Akbar Dom Ami yang menyifatkan sikap tidak membantu Beng Choo dan penolongnya, Dato’ Sieh Kok Chi sebagai punca sukan itu gagal tersenarai untuk dipertandingkan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. 

MOM pada awal bulan ini telah memuktamadkan senarai 38 sukan yang akan dipertandingkan di Kuala Lumpur 2017, dengan tambahan hanya empat sahaja sukan dari senarai 41 jenis sukan yang membuat rayuan untuk dipertimbangkan iaitu Lawan Pedang, Judo, Muaythai dan Triathlon.  

Ia jelas hadir sebagai kekecewaan buat PFM memandangkan floorball yang mula diperkenalkan sebagai sukan pertunjukkan di temasya Sukan Sea Myanmar 2013, telah menerima sambutan menggalakkan sehingga membolehkannya dipertandingkan di Sukan Sea Singapura pada tahun lalu, dengan Malaysia membawa pulang sebutir gangsa.

Justeru dalam kenyataannya yang disiarkan portal ini pada 21 Julai lalu, Dzul berkata alasan bahawa PFM bukan ahli gabungan MOM sebagai punca penolakan sukan itu adalah tidak relevan memandangkan Malaysia selaku negara penganjur mempunyai kelebihan untuk membuat keputusan sukan mana yang mahu dipertandingkan.di temasya dwitahunan itu.

“Beng Choo telah memaklumkan permohonan kita ditolak kerana PFM bukan ahli gabungan MOM. Walaupun bukan ahli gabungan, sepatutnya tiada masalah jika kami buat rayuan untuk sukan itu dipertandingkan, kami telah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan, menteri pun tahu kita telah bekerja keras dan memberi sokongan penuh terhadap usaha PFM.

“Persoalan saya senang, kalau di Myanmar dan Singapura boleh dipertandingkan, kenapa tidak di KL? Bila saya kata walaupun bukan ahli gabungan kita ada kelebihan dan keistimewaan sebagai tuan rumah, apa salahnya masukkan sahaja. Kemudian dia (Beng Choo) kata sukan ini kurang popular,” ujar Dzul yang memegang jawatan Timbalan Presiden PFM bagi penggal 2016-2018 bermula Mei lalu. 

Dzul turut menegaskan bahawa Beng Choo dan Kok Chi masing-masing turut tidak mengambil serius usaha persatuan itu untuk menjadi ahli gabungan MOM meskipun telah menghantar permohonan berulang kali manakala setiap kriteria minimum yang ditetapkan telahpun dipenuhi.

Tambahnya, usaha PFM mendapat sokongan dari barisan exco MOM yang lain termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Norza Zakaria, Naib Presiden Dato’ Mumtaz Jaffar, Dato’ Nazifuddin Najib dan Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.

“Saya telah hubungi Mumtaz, saya tanya betul ke apa yang PFM cakap, dia (Mumtaz) kata  tidak pernah sokong pun usaha mereka,” ujar Beng Choo lagi. 

- Advertisement -