KAMZ5284

Oleh Muhammad Aiman

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Maldives, Velizar Emilov Popov dilantik sebagai ketua jurulatih baru skuad Liga Super Kelantan, tidak sampai 24 jam selepas peletakan jawatan K.Devan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata jurulatih berusia 40 tahun dari Bulgaria itu dilihat sebagai calon tepat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Devan seterusnya membantu melonjakkan semula prestasi pasukan itu.

“Sejak beberapa minggu lalu Devan cukup tertekan dengan pelbagai isu. Beliau telah memaklumkan hasrat untuk berundur sejak selepas tewas kepada Pahang dan berpendapat Kelantan sepatutnya berada di bawah satu sistem kejurulatihan dan latihan yang berbeza. Beliau tidak mahu meninggalkan pasukan apabila keadaan sudah betul-betul tenat dan memberi peluang kepada kita untuk mencari pengganti sebelum berundur.

“Selepas beberapa minggu meninjau, kita ambil keputusan lantik Popov. Beliau seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman luas mengendalikan pasukan profesional Asia, serta pasukan kebangsaan Maldives. Saya telah berbincang dengan Popov untuk ketahui falsafah bolasepak, visi dan komitmen beliau dan saya lihat beliau ada ciri-ciri yang kita mahukan.”

Annuar bercakap kepada pemberita selepas memperkenalkan Popov sebagai pengendali baru Kelantan dalam sidang media khas di ibu negara petang tadi

Sementara itu, Popov berkata dia sedar dengan cabaran getir untuk mengembalikan kepercayaan serta keyakinan penyokong setia The Red Warriors yang cukup kecewa dengan prestasi hambar Kelantan musim ini.

“Saya bersedia untuk sahut cabaran, kalau tidak saya tidak akan berada di sini. Saya tahu Kelantan sebuah pasukan elit, pasukan besar di Liga Malaysia, mempunyai ekspetasi tinggi di kalangan peminat dan saya akan cuba sedaya upaya untuk memastikan pasukan ini berada di kedudukan mereka yang sepatutnya.

“Sejarah hanya mengingati mereka yang menang, tiada siapa yang ingat atau bercakap tentang yang kalah. Memang ianya bukan mudah apabila bermula di pertengahan musim, tapi saya bersedia ambil sebarang risiko untuk pulihkan reputasi Kelantan.”

Popov adalah jurulatih keenam Kelantan dalam tempoh tiga tahun selepas Steve Darby dan George Boateng (2014), Azraai Khor dan Zahasmi Ismail (2015) serta terbaru Devan.

Tugas pertama Popov adalah aksi menentang Selangor pada 18 Mei depan.

- Advertisement -