Selepas dikecewakan pada hari pertama Kejohanan golf berpasukan Piala Eurasia edisi ketiga, pasukan Eropah bangkit dengan aksi bertenaga untuk terus memberikan tentangan kepada pasukan Asia.

Hari kedua dengan format Foursomes, anak didik Thomas Bjorn mengikat kedudukan tiga sama, sekaligus mengekalkan perbezaan satu mata dengan pasukan kendalian Arjun Atwal.

Semangat juang pemain pemain kendalian Thomas Bjorn membara apabila gandingan Tommy Fleetwood dan Henrik Stenson meraih mata pertama pada pusingan kedua selepas mencatat keputusan 3&2 ke atas SSP Chawrasia dan Anirban Lahiri.

Fleetwood dan Stenson mengumpul 3 UP selepas bermain 16 lubang dan gagal ditentang Lahiri dan Chawrasia.

Thomas Bjorn terus melakar senyuman apabila pasangan Paul Casey/Tyrrell Hatton turut mendominasi saingan dengan catatan 2&1 ke atas gandingan Byeong Hun An/Kiradech Aphibarnrat.

Casey dan Hatton mengumpul 2 UP dan hanya memerlukan 17 lubang sahaja untuk mengesahkan mata kedua buat Eropah hari ini.

Impian untuk melihat mata ketiga diraih pasukan Eropah menerusi gandingan Lexander Levy/ Rafa Cabrera Bello tidak kesampaian selepas dihalang Gavin Kyle Green.

Pemain terbaik Jelajah Asia 2017 ini cemerlang mengekang dan mengikat kedudukan Levy dan Bello sehingga lubang 16.

Gavin mengesahkan kemenangan untuk Asia dilubang ke 17 apabila mencatat par manakala Rafa Cabrera Bello membenam bogey sekaligus menamatkan pusingan kedua dengan catatan 1 UP.

Kegembiraan Arjun Atwal hanya bertahan seketika apabila pasangan Poom Saksansin/Sunghoong Kang gagal menyerlah seperti hari pertama.

Poom dan Sunghoong tewas 3&2 ditangan Matthew Fitzpatrick dengan keputusan 3 UP dan hanya beraksi sehingga lubang ke 16 sekaligus memberikan mata ketiga untuk Eropah.

Tatkala Eropah tampak semakin yakin untuk meraih dua mata terakhir pada hari kedua, Hideto Tanihara/Phachara Khongwatmai dan Li Haotong/Nicholas Fung mengecewakan Thomas Bjorn.

Tanihara dan Khongwatmai yang beraksi di kumpulan kelima menyerlah di sembilan lubang terakhir untuk mencatat 2 UP sehingga lubang ke 17. sekaligus mengatasi Alex Noren / Paul Dunne.

Situasi yang sama berlaku kepada gandingan terakhir pasukan Asia, Li Haotong dan Nicholas Fung apabila mempamer aksi cemerlang di sembilan lubang terakhir untuk mencatat 3&1 dimana perlawanan berlangsung sehingga lubang ke 17 apabila Li dan Nicholas mengumpul 3 UP.

Selepas tamat dua pusingan, pasukan kendalian Arjun Atwal mengumpul 6 1/2 mata, berkelebihan satu mata berbanding pasukan Eropah yang mengumpul 5 1/2 mata.

Pusingan ketiga yang juga perlawanan akhir Piala Eurasia 2018 akan berlangsung dengan format singles play dan akan menentukan pemenang mutlak trofi edisi ketiga tahun ini.

 

 

- Advertisement -