Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menghantar kertas cadangan bagi mengadakan kem latihan pusat skuad kebangsaan bawah 18 tahun dan skuad senior untuk menghadapi dua kejohanan besar pada Oktober.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, kem latihan yang dicadangan adalah secara kuarantin seperti yang sedang dilaksanakan di Akademi Badminton Malaysia bagi Program Road to Tokyo (RTT) serta di Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi hari ini.

Skuad senior kebangsaan akan mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sementara skuad bawah 18 tahun akan bersaing bagi Kejuaraan Bawah 19 Tahun Konfederasi Bolasepak Asia di Uzbekistan bagi memburu kelayakan ke Piala Dunia FIFA Bawah 20.

Tiada tarikh khusus yang diletakkan oleh FAM untuk kem latihan kedua dua pasukan ini kerana segala perancangan dan pembentangan cadangan akan diserah oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Segalanya akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas Stuart ketika sidang media maya petang tadi, kem latihan pusat untuk skuad B18 negara ditetapkan di Majlis Sukan Negara (MSN) manakala untuk skuad senior, FAM akan menanti respon daripada MKN dahulu sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan tamat pada 9 Jun dan pengumuman berhubung status samada dilanjutkan atau sebaliknya akan diumumkan kelak.

 

 

- Advertisement -