Status berhubung Marcel Kasongo Kalonda terjawab selepas Persatuan Bolasepak Malaysia mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu tidak mempunyai darah campuran Malaysia.

Kenyataan FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menafikan desas desus yang mengatakan Kalonda layak untuk beraksi bagi skuad kebangsaan selepas emakan dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

‘Selepas cerita mengenai Kalonda dikatakan memiliki darah campuran Malaysia ini heboh diperkatakan di media sosial dan disusuli pula laporan berita memetik Kalonda sendiri yang mendakwa bapa dan datuknya berasal dari Sabah, langkah pertama diambil FAM adalah menghubungi sendiri Kalonda bagi mendapatkan pengesahan daripadanya.

‘FAM memaklumkan kepada Kalonda mengenai syarat kelayakan pemain untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya di bawah peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan telah memberikan senarai semak (checklist) untuk pemain berkenaan menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan kepada FAM bagi tujuan pengesahan dan penelitian kesahihannya,’kata Stuart.

Tambaj Stuart, FAM menghubungi pihak pihak berkenaan untuk mendapatkan kepastian berdasarkan dokumen dokumen yang telah diserahkan oleh Kalonda termasuk menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT) dan wakil konsulat Congo di Malaysia serta berhubung dengan JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.

Namun keputusan siasatan yang diperolehi adalah menduka citakan, malah FAM menganggap tindakan Marcel Kasongo Kalonda memalsukan dokumen adalah kesalahan yang berat.

‘Susulan itu, semalam (Isnin, 6 Julai 2020), FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

‘Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya,’kata Stuart lagi

Justeru, FAM menasihatkan semua pihak terutama netizen dan peminat bola sepak negara supaya tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia kerana ia perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu sebelum pemain itu boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

 

- Advertisement -