famOleh Ku Mohd Lufti

Cerita melibatkan skuad kebangsaan reda seketika selepas tamat saingan Piala AFF 2016 yang menyaksikan Malaysia sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketiga kumpulan B sekaligus gagal mara ke suku akhir.

Kedudukan pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee pastinya menjadi topik utama ketika pembentangan laporan prestasi di mesyuarat FAM akan datang.

Datuk Ong Kim Swee yang dilantik untuk mengendalikan Harimau Malaysia sejak Januari lalu diberi tiga objektif lebih tepat, kunci petunjuk prestasi (KPI).

Mara ke final Piala AFF 2016, layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan meletakkan Malaysia di kedudukan ke 140 dalam ranking dunia FIFA.

Ketika ini dalam senarai ranking terbaru FIFA, Malaysia kini menghuni tangga ke 156 dunia, naik lapan anak tangga.

Hakikatnya satu daripadanya gagal dipenuhi dan Datuk Ong Kim Swee masih mempunyai dua lagi KPI yang perlu dilaksanakan dengan baki kontrak setahun lagi.

Mengulas kembali pandangan penganalisis sukan, Tan Sri Khoo Kay kim yang menyatakan, jurulatih skuad kebangsaan perlu diberi peluang sekurang kurangnya dua tahun untuk membuktikan kemampuan masing masing.

Namun, FAM tampak masih mengambil ringan tentang perancangan untuk skuad Harimau Malaysia, kerana tiada pelan tindakan yang pantas diambil untuk mengharungi tahun 2017.

Kenyataan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam laporan media bercetak, laporan dan keputusan tentang masa depan Datuk Ong Kim Swee akan diputuskan samada Januari atau Februari tahun depan.

Undian bagi peringkat kelayakan bagi Piala Asia 2019 pula dijadual berlangsung pada 18 atau 19 Januari 2017 dan ia pastinya memerlukan persiapan dan perancangan awal sebelum mengharungi perlawanan pada bulan Mac.

Justeru, adakah perancangan exco FAM untuk berkumpul dan menilai kedudukan pengurusan Harimau Malaysia padan Januari atau Februari tahun depan sesuai?

Dengan keadaan skuad kebangsaan yang dianggap ketinggalan jauh berbanding negara negara lain khusunya di rantau Asia Tenggara, dua KPI yang masih belum tercapai mungkin sekadar omong kosong andai FAM tetap dengan pendirian mereka.

- Advertisement -