kelantan

Oleh Muhammad Aiman

Semuanya serba tidak kena di kem The Red Warriors ketika ini.

Dari isu tunggakan dan kelewatan pembayaran gaji, pergolakan dalaman, individu berkepentingan peribadi, krisis keyakinan, prestasi hambar hinggalah ke desakan pemecatan jurulatih semuanya menjadikan situasi semakin huru-hara dan bercelaru di Kelantan.

Menambah kemelut yang sudah sedia bertimbun, bekas pengendali The Red Warriors Azraai Khor Abdullah pula tampil membidas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kerana terus melengahkan pembayaran tunggakan gajinya ketika membimbing Kelantan pada musim lalu.

Malah Azraai turut mendedahkan bahawa persatuan itu tidak melakukan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri walaupun pemotongan gaji telah dibuat.

“Gaji saya masih sangkut untuk bulan Jun (2015), satu bulan jer pun. Buat malu saja, sikap KAFA memang teruk, saya dah hubungi Dato’ Ismail (s/u Kafa) banyak kali, tapi jawapan tetap sama, tiada duit. Untuk KWSP dan LHDN pula, tertunggak tiga bulan, mereka potong gaji tapi tak carum,” jelas Azraai kepada www.sports247.my

Memang benar, Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa sendiri sebelum ini ada mengakui bahawa KAFA bukan sahaja berhutang gaji, tetapi turut berhutang caruman KWSP majikan dan LHDN.

Namun, persoalannya bagi caruman pekerja bukankah apabila potongan sudah dibuat, duit gaji sudah ditolak maka  caruman perlu untuk dilakukan? Ke manakah perginya duit yang dipotong untuk tujuan caruman itu?

Isu tunggakan gaji di kem Kelantan sememangnya sudah sedia diketahui ramai di mana sebelum ini, bekas pemain import dari Colombia Erwin Carrillo membawa isu tunggakan gajinya kepada pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Manakala beberapa pemain tempatan pula menggunakan medium Persatuan Pemain Bolasepak Professional (PFAM) untuk menuntut hak mereka yang mendorong KAFA untuk mengusahakan langkah penyelesaian.

KAFA kemudiannya membuat pembayaran berjadual menerusi persetujuan bersama kepada lapan bekas pemain iaitu Nazri Ahmad, Fakri Saarani, Amar Rohidan, Amiridzwan Taj serta Fitri Omar, termasuk tiga pemain import Austin Amutu, Carrilo dan Gilmar Filho Da Silva.

Namun, tiada sebarang pembayaran dibuat kepada Azraai malah dia tidak dimaklumkan sebarang perkembangan lain selain diberitahu KAFA tiada duit. Jadi, adakah ini bermaksud KAFA cuba lepas tangan dalam isu Azraai dan adakah alasan ‘kami tidak bayar sebab tiada duit’ boleh diguna pakai sewenang-wenangnya.

Untuk rekod, Azraai dilantik sebagai ketua jurulatih The Red Warriors pada penghujung Mac tahun lalu dalam usaha memperbaiki prestasi pasukan itu yang bergelut menunjukkan prestasi terbaik di bawah kendalian George Boateng.

Namun, hayat karier Azraai di Kota Bharu hanya bertahan tiga bulan apabila bekas pengendali Kedah dan Negeri Sembilan itu memilih untuk melepaskan jawatannya pada awal bulan Julai dengan notis 24 jam gara-gara tidak tahan dengan campur tangan ‘tangan ghaib’ yang didakwa cuba mencampuri urusan pengendalian pasukan sejak dari awal dia memulakan tugas.

Meskipun tidak banyak yang berjaya dilakukan jurulatih yang membawa Kedah dua kali bergelar juara treble itu ketika bersama Kelantan, di mana Kelantan mencatat tiga kemenangan, dua seri dan tujuh kekalahan dalam keseluruhan 12 perlawanan di bawah kendaliannya, Azraai tetap berjaya membawa Kelantan melangkah ke final Piala FA, tewas 1-3 kepada Lions XII.

Sebagai sebuah persatuan bolasepak yang dikendalikan individu professional dan kenamaan, adalah memalukan apabila masih timbul isu-isu seperti ini. Mereka berbelanja melebihi kemampuan, tanpa sedar diri tetapi yang akhirnya menjadi mangsa adalah pegawai dan pemain.

Dengan mudahnya mereka melambatkan bayaran gaji atas alasan tiada duit, sewenang-wenangnya gaji dipotong untuk caruman KWSP dan LHDN, tetapi tiada caruman dibuat, pemain dan pegawai yang meninggalkan pasukan pula hanya dapat merasa hak mereka setelah bersusah payah menuntut hak mereka selama berbulan-bulan.

Inikah dinamakan professional dan adakah benar bola sepak tanah air sudah betul-betul bersedia untuk penswastaan tatkala perkara-perkara sebegini masih menjadi kekangan terbesar dan belum ada jalan penyelesaian.   

- Advertisement -