Oleh Muhammad Aiman
Dua gol jaringan Mohamed Ghaddar dan satu oleh kapten pasukan Badhri Radzi memastikan Kelantan membuka kempen Liga Super mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC.
Dalam aksi di Stadium Shah Alam sebentar tadi, Kelantan menurunkan barisan terkuat mereka dan tampil dengan aksi meyakinkan di hadapan 8,000 penyokong yang hadir memberikan sokongan.
The Red Warriors memecah kebuntuan pada minit ke-19 apabila Ghaddar menolak masuk bola muntah setelah penjaga gol Mohamad Nor Haziq gagal menangkap kemas sepakan percuma Indra Putra Mahyuddin.
Dua minit kemudian, Ghaddar meledak lagi kali ini menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil Khirulazuan Kidam setelah Alessandro Padovani Celin dikasari.
Tidak mengalah, PKNS bagaimanapun kembali dalam permainan apabila ketua pasukan Gonzalo Manuel Soto menanduk masuk gol pertama pada minit terakhir separuh masa pertama untuk kedudukan 1-2.
Namun, Kelantan kembali melebarkan kelebihan kepada dua jaringan apabila sepakan percuma Badhri dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Nor Haziq.
Kelantan beroleh sekurang-kurangnya empat lagi peluang terbaik menambah jaringan selepas itu menerusi Indra Putra, Ghaddar, Celin dan Hattaphon Bun An namun semuanya gagal dimanfaatkan tatkala PKNS pula meratapi aksi longlai barisan depan meskipun menggandingkan dua penyerang berbisa, Patrick Ronaldinho dan Safee Sali.
Ia adalah kekalahan kedua skuad E.Elavarasan setelah terdahulu tunduk kepada Felda United pada minggu pertama.
Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail nyata cukup berpuas hati dengan kualiti permainan ditunjukkan pemainnya walaupun ini adalah aksi pertama mereka untuk musim ini.
“Ia permulaan yang baik bagi kita, saya bangga pemain tampil bertenaga walaupun persiapan terjejas. Mereka menunjukkan kerjasama sepasukan yang baik dan bermain dengan penuh yakin.
“Memang kita boleh menang dengan jaringan lebih besar, tetapi saya tidak kisah tentang jumlah jaringan. Ini pun sudah cukup yang penting adalah tiga mata,” kata Zahasmi selepas perlawanan.
Bagi E.Elavarasan pula, “Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik. Saya perlu akui Kelantan hari ini bagus dalam semua aspek sedangkan kami pula gagal menguasai barisan tengah dan membekalkan umpanan yang lebih baik kepada penyerang. Kelantan manfaatkan sebaiknya kesilapan kita.”