rio-og-2016Oleh Ku Mohd Lufti

Mohd Hafifi Mansor dipilih Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk mengisi slot bagi atlet angkat berat Malaysia ke temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan gangsa di Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu akan bertanding dalam kategori 69 kilogram.

Setiausaha Kehormat PABM Pang Siew Huat berkata pemilihan Mohd Hafifi diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan persatuan itu selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

PABM turut menyenaraikan Loro Wellkinson Peugi dalam senarai simpanan andai Hafifi mengalami kecederaan.

Pencapaian terbaik Mohd Hafifi, 26 tahun yang berasal dari Terengganu itu ialah 145kg bagi acara snatch dan 182kg bagi clean and jerk.

Menurut Pang, PABM juga menetapkan sasaran kepada Mohd Hafifi untuk mencapai tempat lapan teratas di Rio walaupun menyedari bahawa kategori 69kg itu merupakan kategori yang popular dan kompetitif dalam sukan angkat berat.

Hafifi dan jurulatih Wang Zhi Quang akan berlatih di Foshan, China selama 58 hari bermula 29 Mei ini.

Malaysia mendapat satu slot acara angkat berat ke Sukan Olimpik selepas menduduki tempat keenam di Kejohanan Angkat Berat Asia 2016 di Tashkent, Uzbekistan pada 30 April dengan 137 mata.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik dalam acara angkat berat ialah melalui Amirul Hamizan Ibrahim pada 2008.

- Advertisement -