Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjawab isu surat layang dakwaan rasuah & salah guna kuasa Presiden & Setiausaha Agung pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM Kali Ke-60 2024.

Segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang berkenaan adalah lebih bersifat untuk menyerang peribadi yang merupakan fitnah dan tohmahan semata-mata. Ia juga dilihat datang daripada seorang individu atau lebih yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.

Untuk makluman semua, semua perkara melibatkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan iaitu ianya perlu melalui Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan.

Justeru, berpandukan kepada Statut FAM, laporan berhubung perkara ini akan dihantar kepada Jawatankuasa Integriti FAM, sebuah badan bebas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr. Aseh Haji Che Mat serta dibarisi ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada antaranya wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dinilai dan diperhalusi. FAM sentiasa bersikap terbuka untuk disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai dakwaan-dakwaan yang dinyatakan dalam surat layang tersebut.

ii) FAM juga sedang menimbang untuk membuat laporan polis berhubung surat layang tersebut kerana ia telah menimbulkan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air dan juga antarabangsa, selain akan cuba mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan dari mana sumber asal e-mel surat layang tersebut dan jika ia melibatkan staf FAM, siasatan dalaman turut akan dibuat.

iii) Berhubung isu hampir 12 orang staf FAM telah meletak jawatan dalam tempoh tiga bulan terakhir, ia perkara normal dalam sebuah organisasi besar apabila terdapat staf yang telah tamat kontraknya dan tidak ditawarkan kontrak baharu, selain staf yang menghantar surat peletakan jawatan kerana menerima tawaran lebih baik dari pihak lain serta ada juga yang terpaksa berhenti kerana masalah peribadi/keluarga. Tiada seorang pun yang telah dipecat seperti yang didakwa dalam surat layang tersebut. Malah, terdapat juga beberapa bekas staf sebelum ini yang kembali menyertai FAM selepas tempoh tertentu, sekali gus membuktikan bahawa tiada masalah pengurusan seperti yang didakwa.

Berkenaan isu kenaikan gaji staf, FAM sentiasa mengikut prosedur dan ketetapan sedia ada di bawah Unit Sumber Manusia FAM yang mana kenaikan gaji adalah dinilai berdasarkan prestasi kerja, tahap komitmen, disiplin, rekod kedatangan harian serta perkara-perkara berkaitan, dan bukannya dibuat berdasarkan pilih kasih seperti yang didakwa.

iv) Sementara itu, mengenai peletakan jawatan penolong pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Wira Kamarul Ariffin Mohd Shahar, beliau sendiri telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut bertarikh 29 Januari 2024, iaitu sekembalinya skuad Harimau Malaya ke tanah air selepas menamatkan kempen Piala Asia 2023 di Qatar atas alasan mahu memberi tumpuan kepada urusan perniagaan beliau. Tiada istilah beliau ditikam dari belakang atau sebagainya kerana peletakan jawatan itu adalah atas persetujuan dan permintaan beliau sendiri.

Siaran media ini disiarkan pada Isnin, 1 April 2024

- Advertisement -