Harimau Malaya memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan kemenangan bergaya selepas membelasah Timor Leste 7-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Meskipun beraksi dalam suasana sambutan Hari Raya ketika ini, semangat juang anak didik Tan Cheng Hoe tidak luntur dan menguasai perlawanan dengan empat gol berjaya dihasilkan di babak pertama perlawanan.
Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) Corbin Ong La’vere Lawrence yang mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe untuk beraksi di kesebelasan utama menyumbat gol pertama Harimau Malaya di minit ke 10 sebagai tanda terima kasih.
Gol Corbin Ong terhasil menerusi tandukan kemas susulan didepan gawang Timor Leste hasil hantaran silang Safawi Rasid.
Enam minit berselang, Malaysia dihadiahkan penalti selepas Norshahrul Idlan Talaha dikasari pemain lawan, namun peluang terhidang yang diambil oleh Safawi Rasid gagal disempurnakan dengan baik apabila di tepis penjaga gol pelawat, Fernandes Aderito Raul.
Minit 22, giliran Shahrel Fikri Md Md Fauzi melakar nama selaku penjaring kedua Malaysia selepas melepaskanb rembatan rendah dari dalam kotak penalti susulan hantaran silang Matthew Davies sebelum penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha bijak memperdaya pertahanan pelawat untuk meledak gol ketiga di minit 42.
Safawi Rasid membalas kekecewaan terlepas sepakan penaltinya dengan gol keempat hasil rembatan deras selepas bergandingan dengan Mohamadou Sumareh.
Meskipun ketinggalan empat gol, Timor Leste nyata tidak putus semangat dan berjaya mengejutkan Malaysia dengan gol menerusin kapten pasukan, Joao da Silva Freitas di minit 51.
Safawi semakin tajam didepan gawang lawan dan meledak gol kedua untuk Malaysia selesa mendahului 5-1 di minit 51 sebelum Faiz Nasir menambah koleksi gol keenam untuk Malaysia di minit 78.
Akhyar Rashid melengkapkan pesta gol Malaysia dengan jaringan ketujuh seminit sebelum tamat perlawanan, sekaligus memberikan bekalan yang cukup selesa untuk Tan Cheng Hoe sebelum aksi kedua pada 11 Jun depan.