Johor Darul Takzim memerlukan satu sahaja lagi kemenangan dari lima perlawanan berbaki untuk menjulang gelaran Liga Super buat musim kelima berturut-turut setelah membelasah Melaka United 4-0 dalam aksi di Stadium Hang Jebat pada Selasa.

Skuad bimbingan Raul Longhi itu mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Fernando Marquez pada minit ke-40 dan menambah tiga gol di separuh masa kedua menerusi Fernando Elizari (m-53), Safawi Rasid (m-64) dan Nazmi Faiz Mansor pada minit akhir perlawanan.

Kemenangan ke-14 dari 17 perlawanan itu membolehkan harimau selatan mengekalkan kelebihan 13 mata ke atas pasukan tangga kedua Perak dan kemenangan ke atas skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu pada 11 Julai depan akan memastikan mereka mengekalkan kejuaraan di Larkin.

Sementara itu, Perak mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua dengan menewaskan pasukan tangga tercorot Kelantan 1-0 di Stadium Ipoh menerusi gol tunggal sepakan penalti jaringan Leandro Santos pada minit ke-70.

Sang seladang ketika ini mengumpul 31 mata, satu mata mengatasi pasukan tangga ketiga Kedah dan berada dalam landasan tepat untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka dalam saingan Liga Super selepas 11 tahun iaitu muncul naib juara pada 2007.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman pula, Kedah melonjak ke tangga ketiga setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas PKNS FC menerusi jaringan Paolo Rangel dan Andik Vermanshah manakala Pahang pula terus tergelincir setelah sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Selangor di Stadium Darulmakmur.

Wan Zaharulnizam Zakaria meletakkan skuad bimbingan Dollah Salleh mendahului pada minit ke-49 namun penyerang sensasi Selangor Rufino Segovia memastikan Selangor pulang dengan satu mata dengan menjaringkan gol ke-14 peribadinya dalam liga musim ini pada minit ke-63. MUHD AIMAN 

- Advertisement -