Nicol.David.3

Oleh Muhammad Aiman

Hasrat ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David untuk melangkah ke perlawanan akhir seterusnya menjulang kejuaraan Siri Dunia PSA tidak kesampaian setelah tunduk kepada pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Raneem El Welily di peringkat separuh akhir yang berlangsung di Burj Park, Dubai awal pagi Sabtu.

Nicol yang menewaskan pemain remaja Mesir Nouran Gohar dalam aksi terakhir Kumpulan A untuk mara ke separuh akhir, menyandarkan sepenuhnya kepada pengalaman luasnya untuk memberi saingan sengit kepada Raneem.

Begitupun pengalaman semata-mata tidak memadai buat juara dua kali pada 2012 dan 2013 itu tatkala Raneem dilihat lebih bertenaga dan pantas mengembalikan pukulan untuk mencatat kemenangan 2-1 (11-5, 8-11, 11-8). 

“Pada set pertama, Raneem memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dan saya terpaksa mencari kekuatan untuk bangkit dan kembali berikan saingan di set kedua. Saya berjaya lakukannya dan kekalkan rentak di set ketiga untuk terus bersaing sengit.

“Tetapi perlu diakui Raneem berada pada prestasi terbaiknya manakala saya pula dihukum di atas kesilapan sendiri kerana terlalu banyak memberi ruang kepadanya. Ini menjadikan dia beraksi lebih yakin,” kata Nicol sepertimana dipetik dari laman web www.worldseriesfinal.com.

Pada aksi final yang akan berlangsung Sabtu malam, Raneem akan bertemu naib juara 2013, Laura Massaro dari England yang mara ke final setelah menyingkirkan juara Kejohanan Dunia Wanita, Nour El Sharbini 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

- Advertisement -