Piala Sultan Azlan Shah 2016

Malaysia memulakan cabaran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 dengan dua keputusan positif, namun ia belum cukup untuk menggembirakan pengendali skuad kebangsaan yang bimbang dengan sikap pemainnya yang hilang fokus setelah mendahului perlawanan. 

Kenyataan Van Huizen itu hadir selepas menyaksikan pasukannya hampir berputih mata ketika menentang Jepun yang mana The Speedy Tigers mensesiakan kelebihan tiga gol dan membenarkan Jepun menjaringkan dua gol di babak akhir permainan untuk akhirnya mencatat kemenangan tipis 4-3.

Skrip sama berlaku dalam perlawanan pembuka tirai apabila Malaysia yang dua kali mendahului juara bertahan New Zealand terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 apabila The Kiwis bangkit menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat permainan.

Justeru, Van Huizen berharap kesilapan sama tidak berulang pada pertemuan menentang juara lapan kali Australia, pada Sabtu.

“Kami bermula dengan baik dan berjaya mendapatkan empat gol pantas, tetapi kami tidak menamatkan permainan dengan baik. Ianya sentiasa berbahaya untuk benarkan lawan kembali dalam permainan apabila anda berada dalam situasi selesa. Anda perlu mematikan sebarang peluang untuk mereka bangkit dan tidak membenarkan kesilapan untuk mengambil tempat, ianya akan membawa padah.

“Kuncinya di sini adalah fokus dan konsentrasi, pemain tidak boleh leka dan perlu buang jauh sikap ini. Saya gembira melihat permainan mereka dalam dua perlawanan lepas dan berharap mereka belajar dari kesilapan. Mereka perlu yakin dengan setiap pergerakan dan apabila mendahului perlawanan, perlu cuba untuk mempertahankannya dan mematikan rentak lawan,” ujar Van Huizen.

Malaysia ketika ini mendahului kedudukan peringkat kumpulan dengan empat mata namun perlawanan menentang Australia, pasukan di ranking nombor satu dunia yang memulakan kempen mereka di kejohanan ini dengan menundukkan juara Asia, India 5-1 sudah tentunya satu cabaran yang jauh berbeza berbanding dua perlawanan terdahulu.  

Untuk rekod, Malaysia tewas ketiga-tiga perlawanan menentang Australia ketika Jelajah Oceania pada bulan lepas dan apa yang dituntut Van Huizen, aksi yang komited dan lebih bertenaga dari pemainnya tanpa terlalu menghormati status lawan mereka itu yang dijangka sekali lagi menurunkan skuad bayangan Sukan Olimpik.   

- Advertisement -