Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin menyifatkan kempen Inisiatif Hijau yang digerakkan sepanjang berlangsungnya Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sebagai satu kejayaan.

Menurut Khairy, pelaksanaan Inisiatif Hijau telah berjaya merawat dan mengurangkan sebanyak 49 peratus sisa yang terhasil sepanjang penganjuran KL 2017 dari dibawa ke tapak pelupusan sampah berbanding 30 peratus sasaran asal.

Manakala dari aspek kecekapan tenaga, sebanyak 9170,000 kWh mewakili 17 peratus tenaga telah dapat dijimatkan berbanding sasaran asal 15 peratus, berdasarkan pengauditan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).   

“Secara keseluruhannya, Inisiatif Hijau KL2017 telah mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 2,703 ton karbon  dioksida iaitu 637 tCO2 melalui penjimatan tenaga dan 2,066 tCO2 dari pengurusan sisa pepejal. Ini tidak termasuk penggunaan pengangkutan awam serta basikal Obike yang telah disediakan yang mana sekiranya diukur akan menunjukkan penjimatan lebih tinggi.

“Dengan adanya pendekatan tersebut, dan sumbangan kita melalui penanaman pokok yang mana kita akan lihat hasil dan faedahnya beberapa tahun akan datang, saya lihat pendekatan kita guna temasya ini untuk pendekatan pembangunan lestari dan promosikan gaya hidup hijau telah berjaya,” kata Khairy.

Khairy bercakap kepada pemberita setelah hadir pada Majlis Pelancaran Fasa Ketiga Program Satu Pingat Satu Pokok di Bandar Sukan Bukit Jalil (KLSC), membabitkan dua lokasi utama iaitu bersebelahan Pusat Akuatik Nasional dan berhampiran Stadium Hoki Nasional.

Untuk makluman, program Satu Pingat Satu Pokok dilancarkan pada Ogos lalu sebagai satu daripada kempen menjayakan Inisiatif Hijau KL 2017 dan ianya dijalankan dalam empat fasa yang akan berakhir pada Mac 2018.

Fasa pertama adalah pelancaran program yang mana Khairy sendiri telah mendahului aktiviti simbolik menanam anak pokok di kawasan Mini Forest di KLSC manakala fasa kedua menyaksikan atlet-atlet pemenang pingat di KL2017 dihadiahkan anak pokok semasa upacara penyampaian hadiah.

Fasa ketiga yang berlangsung hari ini pula menyaksikan para pemenang pingat emas buat kontijen negara didahului Khairy menanam sebanyak 235 anak pokok (145 emas Sukan SEA, 90 emas Para) dari beberapa spesis pokok hutan yang dipilih mengikut kesesuaian lokasi dan kemampuan spesis tersebut dalam menambahbaik ekologi di sekitar KLSC.   

Antara atlet pemenang pingat emas yang hadir adalah Syakilla Salni Jefry Krishnan (karate), Natasha Roslan, Sin Li Jane, Saidatul Afifah Badrul Hamidi (boling), Qabil Ambak (ekuestrian), Tan Ing Yueh (gimnastik) serta Najib Turano, Ziyad Zolkefli, Ridzuan Puzi dan Faridul Masri (atlet para).

“Semua pemenang emas akan tanam sendiri pokok mereka, yang mana belum ada kesempatan, saya minta mereka luangkan masa. Ini bukan saja satu tanda kenangan yang akan kekal selamanya buat mereka, malah membentuk satu legasi untuk menyebarkan mesej tentang pentingnya menjaga alam sekitar.  

“Jika usaha ini dapat mendorong sebahagian kecil peminat sukan untuk ambil kisah terhadap Inisiatif Hijau, maka kita telah berjaya sebarkan kesedaran untuk memulihara alam sekitar,” kata Khairy yang turut mendedahkan ‘Wall of Honour’ yang memaparkan nama-nama pemenang emas di KL2017 pada majlis itu.

Turut hadir adalah Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah; Ketua Setiausaha KETTHA, Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang; Timbalan Pengarah Urusan SCGM Berhad, Dato’ Seri Lee Hock Guan dan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017, Dato’ Seri Zolkples Embong.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -