Ke arah membentuk hubungan yang lebih kukuh dan erat, Institut Sukan Negara, ISN akan membantu pengamal media dalam memberikan liputan berkenaan perkembagan semasa atlet atlet negara.

Ini kerana 2018 bakal menjanjikan 1001 cerita terkini buat atlet atlet negara yang terpilih sekaligus mewakili negara ke dua temasya besar, Sukan Komanwel dan Asia yang dijadual berlangsung pada April dan Ogos depan.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi melihat media perlu diberi ruang dan peluang untuk melaksanakan tugas mereka selain tidak mengenakan sebarang sekatan yag boleh mengganggu rutin harian.

“Kami akan menampung apa sahaja yang kami mampu. Kami akan bercakap dengan persatuan sukan kebangsaan, kami akan cuba bercakap dengan atlet. Kami akan mengadakannya di sini berbanding pergi ke venue latihan. Kita boleh berjumpa di sini,” kata Azim selepas Majlis ISN bersama Media di Bukit Jalil.

Acara turut dihadiri pengarang dan wartawan media cetak, elektronik serta wakil Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang diketuai Presiden, Ahmad Khawari Isa.

Media tempatan berdepan ‘kerenah birokrasi’ daripada pihak pihak tertentu untuk membuat liputan terhadap atlet atlet berprofil tinggi khususnya.

Malah, ada diantara atlet yang mungkin tidak mahu diganggu kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan bagi menghadapi kejohanan terdekat atau menjalani program latihan yang telah diatur.

Mengulas tentang cadangan Azim, Khawari memberikan cadangan agar disediakan satu sesi khas kepada media untuk melakukan liputan.

“Kami memahami jadual sibuk latihan tetapi kalau kita boleh buat penjadualan, kami boleh akses secara tersusun. Kami tidak perlu lagi mengganggu mereka dalam latihan dan mereka tidak lari daripada kami. Semuanya lebih sistematik,” kata Khawari.

Dalam pada itu, sesi lawatan di dalam ISN bertujuan untuk memberi pendedahan tentang teknologi yang ada bagi membantu atlet atlet elit dan yang berada di bawah Program Podium untuk meningkatkan kemahiran, menggunakan kepakaran sains sukan untuk sesi pemulihan, rawatan serta sistem analisa bagi mengukur kemampuan individu.

Kelengkapan dengan nilai jutaan ringgit ditambah tenaga tenaga pakar dalam dan luar negara, Datuk Seri Azim tidak melihat tiada sebab mengapa atlet negara tidak mampu untuk menjadi yang terbaik.

“Saya tidak nafikan dengan wujudnya ekosistem ini, sepatutnya atlet negara boleh menjadi juara. Saya tidak nampak kenapa atlet kita tidak boleh menjadi terbaik di rantau ini.

“Kebanyakan negara di Asia Tenggara tidak memiliki kelengkapan seperti yang kita ada. Saya percaya mereka pasti kagum dengan kemudahan kita ada,” katanya lagi.

 

Antara dua kemudahan terbaharu adalah ‘Altitude and Environmental Chamber’ yang direka khas untuk latihan olahraga, dan memerlukan kawalan karbon dioksida dan oksigen dalam ‘environmental chamber’ tersebut.

Chamber itu berupaya melakukan simulasi pelbagai jenis keadaan cuaca dan suhu serendah -25 darjah Celsius hingga 55 darjah Celsius.

Cryotheraphy Lab atau lebih dikenali sebagai makmal ais pula digunakan untuk merawat kecederaan atlet dengan lebih cepat.

“Dua kemudahan ini adalah untuk membantu persiapan atlet sebelum bertanding ke luar negara dan mempercepatkan pemulihan kecederaan atlet. Kalau dulu perlu mengambil seminggu untuk sembuh tetapi dengan kemudahan ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari sahaja,” kata Azim lagi.

- Advertisement -