super.leagueBy Muhammad Aiman

Kekalahan 1-2 kepada Sarawak dalam aksi Liga Super pada Selasa membawa perkhabaran buruk buat pengendali Pulau Pinang, Jacksen Tiago Fernandez yang direhatkan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

FAP mengambil keputusan drastik itu susulan aksi hambar skuad harimau kumbang yang hanya merakamkan satu kemenangan dalam Liga Super dan tidak menang dalam lima perlawanan terakhir.

Dalam satu kenyataan ringkas, FAP mengatakan, “Pihak pengurusan tertinggi FAP telah mengadakan mesyuarat tergempar dan sebulat suara membuat keputusan merehatkan Jacksen Tiago. Selain itu, mesyuarat juga menerima perletakan jawatan Lawrence Loh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pro FAP.”

Tugas Jacksen, akan diambil alih oleh penolong jurulatih yang juga bekas pemain negeri, Manzoor Azwira Abdul Wahid yang akan bertindak selaku pengendali sementara.

Dalam kenyataan sama, pihak pengurusan FAP turut menyatakan bahawa surat amaran akan diberi kepada pemain-pemain yang gagal memberi persembahan memuaskan dalam usaha memastikan sasaran menduduki kelompok enam terbaik dapat direalisasikan.

Kekalahan 1-2 kepada Sarawak di gelanggang sendiri adalah kekalahan ketiga Pulau Pinang musim ini setelah kecundang kepada Terengganu pada perlawanan pembuka tirai, dan Kelantan sebelum aksi liga berhenti rehat selama tiga minggu. Mereka turut tersingkir dari saingan Piala FA setelah tunduk kepada pasukan Liga Perdana, Kuantan FA.

Untuk rekod, Jacksen membawa Pulau Pinang beraksi di Liga Super setelah muncul naib juara Liga Perdana musim lalu dan dia menjadi jurulatih kedua untuk direhatkan musim ini setelah nasib sama menimpa jurulatih Terengganu Ahmad Yusoff. 

- Advertisement -