goh-jin-wei

Beliau mungkin baru berusia 15 tahun tetapi Goh Jin Wei telah mencipta sejarah sebagai pemain remaja wanita pertama Malaysia yang memenangi Kejohanan Remaja Dunia di Lima, Peru tahun lepas.

Kejayaan pemain skuad remaja wanita begara itu sekaligus menjadikan beliau pemain kedua termuda yang memenangi kejohanan itu.

Siapa menyangka gadis yang berpewatakan lembut dan menjadikan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai idola itu mula terlibat secara langsung dengan sukan badminton sejak berusia enam tahun.

Pemain yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mula bermain badminton sebagai hobi sebelum bapanya menyedari bakatnya dalam sukan itu dan membawa Jin Wei berlatih di bawah bimbingan Teh Beng Huat, bekas jurulatih Chong Wei.

Sepanjang tahun 2015, beliau juga memenangi pingat emas perseorangan dalam temasya Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Brunei dan meraih pingat gangsa pada Sukan SEA di Singapura.

“Rentetan kejayaan demi kejayaan yang diraih pemain muda itu membolehkan beliau dipilih sebagai Atlet Muda Terbaik pada Anugerah SAM-100Plus 2015.

“Dalam usia yang masih muda, Jin Wei mempunyai masa yang panjang untuk terus menyerlah dalam arena badminton,” kata Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bersama Anugerah SAM-100Plus 2015, Izahar Atan.

Tahun lepas, anugerah itu diberikan kepada Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar daripada sukan permotoran yang muncul juara dalam saingan Siri Piala Juara-Juara Go-Kart Dunia (WSK) bagi kelas 60 Mini di Itali pada 2014.

- Advertisement -