jacop.joseph

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih MISC-MIFA, Jacob Joseph mengakui pasukannya berdepan cabaran sukar dalam misi mencari tiket beraksi di saingan Liga Premier musim depan, di sebalik prestasi baik ditunjukkan pasukan itu dalam Liga FAM – liga divisyen tiga bolasepak Malaysia.

Dengan berbaki enam perlawanan sahaja lagi sebelum aksi peringkat kumpulan menutup tirai, MIFA yang rata-ratanya diperkuatkan pemain muda berada di landasan tepat untuk menepati sasaran awal layak ke peringkat suku akhir apabila menduduki tangga kedua Kumpulan A di belakang pasukan berbelanja besar, Felcra United.

Mereka hanya dipisahkan dengan satu mata namun terlepas peluang untuk merampas kedudukan teratas kumpulan setelah tewas 0-1 kepada Air Asia All  Stars menerusi jaringan Faizwan Abdullah pada aksi terakhir sebelum liga berhenti rehat selama lebih sebulan, pada 1 Jun lalu.  

Perubahan format saingan serta keupayaan pasukan berbajet besar seperti Felcra dan Air Asia memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain-pemain dari Liga Super dan Liga Perdana di pintu perpindahan kedua yang berakhir pada 31 Mei lalu, menurut Jacob telah menjadikan destinasi dituju sebagai ‘dekat tapi jauh’.

“Tahun lepas kita kecewa pada saat akhir kepada Melaka jadi saya harap kita boleh tebus kegagalan itu kali ini. Tapi saya lihat ianya lebih sukar tahun ini kerana lapan pasukan akan bersaing untuk merebut hanya dua slot ke Liga Perdana. Ini berbeza dengan tahun lepas, pasukan yang muncul juara kumpulan terus layak ke Liga Perdana.

“Jadi, bayangkan walaupun kami menamatkan aksi kumpulan di tangga teratas atau kedua, tempat kami belum terjamin sebaliknya kami perlu beraksi di suku akhir secara timbal balik, ini menjadikan peluang terbuka buat kesemua lapan pasukan apatah lagi hampir semua pasukan telah membuat pertukaran pemain, memperkemas dan memantapkan pasukan mereka,” katanya.

Bekas jurulatih ATM dan Perak Jenderata itu bagaimanapun yakin barisan pemainnya mempunyai kualiti untuk melepasi halangan suku akhir namun menjelaskan kebimbangan terbesarnya adalah apabila berada di separuh akhir.

“Kekuatan pasukan yang akan kita jumpa tidak lagi sama seperti di peringkat kumpulan, sama ada mereka dari Kumpulan A ataupun B. Jadi kalau pasukan itu menamatkan kumpulan di tangga ketiga atau keempat sekalipun tetap ada peluang ke Liga Perdana. Ia bergantung kepada bagaimana prestasi mereka pada hari suku akhir, separuh akhir dan akhir, bukan prestasi keseluruhan musim,” katanya.

Untuk rekod, Perlis dan Melaka layak ke Liga Perdana musim ini setelah menjuarai aksi Liga FAM peringkat kumpulan masing-masing pada tahun lalu – Melaka kemudiannya bergelar juara setelah menundukkan Perlis di perlawanan akhir Piala FAM.

Namun berbeza tahun ini, empat pasukan masing-masing dari Kumpulan A dan Kumpulan B mara ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung secara timbal balik.

MIFA membuat penampilan sulung dalam Liga FAM pada 2014, menamatkan liga di tempat kesembilan dan Jacob yang mengambil alih tugas selaku jurulatih dari bekas pemain kebangsaan K.Sanbagamaran pada musim lalu hampir berjaya dalam cubaan pertamanya untuk membimbing MIFA ke Liga Perdana, namun dikecewakan Melaka.

Walaupun ianya menjadi penyudah dramatik bagi Melaka, tetapi cukup tragis buat MIFA yang menamatkan musim dengan jumlah mata sama – 36 mata – dengan Melaka, tetapi akhirnya berputih mata dek beza satu jaringan.    

Bagi saingan tahun ini, MIFA mengumpul 26 mata setelah mengharungi 12 perlawanan, hasil lapan kemenangan dan dua kali seri.

- Advertisement -