Negeri Sembilan meletakkan sasaran untuk mara dalam saingan TM Piala Malaysia sebagai penawar buat mereka musim ini selepas gagal mendapatkan slot ke CIMB Liga Super 2021.

Ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah, bagaimanapun sedar masih ada satu lagi ranjau perlu dilalui Negeri Sembilan iaitu perlu menang ke atas Sarawak United pada aksi terakhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman,Paroi, Jumaat ini.

Sebarang kekalahan akan menutup terus ruang buat Negeri Sembilan untuk mara manakala seri akan membuatkan mereka terpaksa bergantung kepada keputusan pasukan lain membabitkan Kelantan United FC dan UKM FC.

” Setelah hajat untuk Liga Super tidak kesampaian, inilah sahaja peluang buat Negeri Sembilan melakar sesuatu dan kami tidak rela tercicir dalam saingan Piala Malaysia.

” Aksi di Piala Malaysia cukup penting kepada kami sebagai moral kepada pemain yang telah bekerja keras sepanjang musim ini dan mungkin ada sesuatu yang boleh kami capai nanti.

” Cuma kami tahu laluan ke Piala Malaysia masih belum selamat kerana pasukan Sarawak United juga berpeluang jika menewaskan kami di tempat sendiri.

” Bermain di Paroi tidak menjanjikan apa-apa kelebihan kerana tiada penonton buat masa ini, maka aksi terakhir nanti sebenarnya seimbang kepada kedua-dua pasukan,” katanya.

Negeri Sembilan yang kini di tempat kelapan Liga Premier, berada di slot terakhir untuk mara ke TM Piala Malaysia kerana Terengganu FC II , Johor DT II dan Selangor 2 tidak boleh bertanding dalam saingan kejohanan berprestij itu memandangkan ketiga-tiga pasukan terbabit merupakan pasukan reserve.

Skuad Hobin Jang Hobin telah memenangi 3 daripada 10 perlawanan setakat ini dan aksi terakhir mereka berjaya mengikat Kelantan 2-2 di Stadium Sultan Mohamad ke-IV.

Dalam masa sama, Norhafiz menghormati kekuatan Sarawak United yang dikemudi E.Elavarasan sambil dibantu beberapa pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah dan S.Chanturu.

” Walaupun mereka berada di tangga terakhir buat masa sekarang, sebenarnya Sarawak United sebuah pasukan yang baik dan harus diingat mata antara semua  pasukan tidak begitu jauh.

” Saya cukup hormat dengan Sarawak United dan mereka sebuah pasukan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman serta mampu mengejutkan mana-mana pasukan.

” Justeru,kami kena perbaiki segala kelemahan terutama dalam soal penyudah yang selalu membelenggu peluang kami untuk menang dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

- Advertisement -