Ketua pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha tidak berasakan bukan sesuatu yang mustahil buat mereka mampu menamatkan cabaran dalam kelompok atasan pada penghujung saingan Liga Super,musim ini.

Malah, peluang untuk memecahkan rekod kelompok enam terbaik Liga Super yang dibuat 10 tahun lalu dilihat mampu menjadi motivasi utama buat Zaquan dan rakan sepasukan dalam menaikkan semula nama Negeri Sembilan di persada Liga Malaysia.

Selain itu, kejayaan juara Liga Premier 2020, Pulau Pinang yang menamatkan cabaran di tangga ketiga musim lalu juga membuatkan Zaquan berasakan Negeri Sembilan boleh mengikut jejak langkah yang sama.

” Sasaran utama kami ialah untuk kekal di Liga Super selepas baharu dinaikkan dari Liga Premier pada musim lalu.

” Bagaimanapun dalam bola sepak, saya hanya berpegang satu benda iaitu tiada apa yang mustahil jika kita mampu mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

” Namun satu bonus jika kami mampu beri saingan lebih sengit dengan berada dalam kalangan tiga ke lima terbaik.

” Jika musim lalu Pulau Pinang selaku pendatang baharu boleh lakukan, maka kami pun boleh dan tiada apa yang mustahil buat Negeri Sembilan,” katanya.

Skuad Hobin Jang Hobin bermula langkah kanan pada aksi sulung Liga Super dengan menewaskan Sabah FC,1-0 melalui jaringan tunggal Khair Jones.

Namun, Negeri Sembilan terpaksa berehat selama sebulan ekoran terdapat penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan pemain yang membuatkan dua aksi bertemu Terengganu FC, ditunda.

Aksi seterusnya buat Negeri Sembilan FC ialah berdepan Selangor FC pada 5 April di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sementara itu, Zaquan yang bakal menginjak umur 35 tahun, tidak mahu usianya dijadikan tumpuan terutama untuk bermain di Liga Super sebaliknya dia percaya pengalaman yang ada padanya mampu membantu Negeri Sembilan.

” Saya tolak tepi faktor umur kerana apa yang lebih penting ialah pengalaman bagi membantu pasukan.

” Kalau diikutkan tenaga, sudah tentu pemain muda lebih tinggi kemampuan mereka tetapi untuk idea bermain dalam perlawanan itu lebih penting.

” Walaupun anda tenaga tetapi tiada idea hendak bermain, tidak menjadi juga dan keseimbangan kena ada antara kedua-duanya.

” Di sini peranan pemain senior iaitu membantu pemain-pemain muda dalam memahami rentak perlawanan terutama di Liga Super,

” Jika musim lalu Pulau Pinang selaku pendatang baharu boleh lakukan, maka kami pun boleh.

” Bagaimanapun, apa yang paling penting buat masa ini ialah untuk kekal dalam pentas Liga Super,” katanya.

 

- Advertisement -