valencia.jdt

Oleh Muhammad Aiman

Kelab bolasepak Johor Darul Takzim terus mengorak langkah untuk melonjakkan imej mereka di peringkat global apabila membuat keputusan untuk membeli sebidang tanah di Sepanyol bagi tujuan mewujudkan kem latihan pra musim pasukan itu.

Menerusi kenyataan di laman sosial rasmi Johor Southern Tigers, kelab itu mengumumkan bahawa satu pasukan delegasi JDT telah dihantar ke Sepanyol, negara kuasa besar bolasepak dunia pada Selasa untuk meninjau lokasi bersesuaian sama ada di Valencia atau Barcelona.

“Selain kem latihan pra musim, ia juga akan menjadi tempat penginapan pemain-pemain muda kami yang diserap ke dalam mana-mana kelab di Sepanyol,” menurut kenyataan tersebut.   

Andai perkara itu menjadi kenyataan, Harimau Selatan akan mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama untuk mempunyai prasarana serta padang latihan bolasepak di luar negara.

Sebelum ini, pasukan milik Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu yang juga juara bertahan Piala AFC sudahpun memperlihatkan visi besar untuk merubah landskap bolasepak mereka agar tidak hanya dikenali di rantau Asia apabila menjalin kerjasama dengan kelab Eropah seperti Borussia Dortmund dan Valencia.

Justeru perancangan terbaru ini dilihat sebagai satu lagi langkah ke hadapan JDT di dalam mengangkat lagi martabat bolasepak mereka ke satu aras yang lebih tinggi.

- Advertisement -