100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Aksi 100PLUS Liga Premier kembali bersambung pada Jumaat selepas lebih sebulan berehat, dengan Johor Darul Takzim II melonjak selaku pendahulu baru setelah menundukkan Sabah 2-1 di Pasir Gudang.

Bintang import, Paolo Rangel muncul wira JDT II apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-43 dan 83 sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah skuad Benjamin Mora kepada sebelas perlawanan.

Kemenangan kelapan serta yang keenam berturut-turut dalam saingan liga musim ini membolehkan JDT II mendahului liga dengan 28 mata, satu mata mengatasi Melaka United yang hanya akan turun beraksi menentang Kuala Lumpur pada Sabtu.

Finalis Piala FA, PKNS Selangor pula melonjak ke tangga ketiga dengan 26 mata setelah merakamkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Uitm Selangor di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol buat pasukan kendalian E.Elavarasan dijaringkan oleh Juan Manuel Cobelli pada minit ke-17, Gonzalo Soto (m-40) dan Muhammad Khairu Azrin pada minit ke-64.

Dalam perlawanan lain, Negeri Sembilan yang dianggap sebagai antara pasukan pilihan untuk memburu slot beraksi di Liga Super tergelincir ke tangga keempat setelah dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada pasukan pertengahan liga, Perlis.

Dua jaringan pemain import baru, Charles Chad Souza pada minit ke-55 dan 90 memadam kelebihan Negeri Sembilan yang sebelum itu mendahului 1-0 hasil jaringan Goran Jerkovic di babak pertama.

Kemenangan membolehkan skuad Dollah Salleh melonjak ke tangga keenam dengan 18 mata, berkongsi mata dengan Kuantan FA yang turut mengutip tiga mata setelah mencatat kemenangan 4-3 ke atas Sime Darby.

Gol-gol buat The Seagulls dijaringkan oleh Dao Bakary (dua gol), Srdjan Vidakovic dan Abdul Malik Mat Arif manakala Sime Darby membalas menerusi dua jaringan Mateo Roskam dan satu jaringan Syed Sobri.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia pula mencatat kemenangan pertama mereka musim ini setelah menundukkan DRb Hicom 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

ATM membuka jaringan seminit selepas separuh masa kedua bersambung menerusi Aifaa Md Baliya dan gol kedua dijaringkan pada minit ke-85 oleh Fomenkov Boris, manakala gol saguhati DRB Hicom dijaringkan Nazri Kamal pada minit ke-82.

ATM bagaimanapun menamatkan perlawanan dengan 10 pemain setelah Sirojiddin Rakhmatulaev dilayangkan kad merah. 

- Advertisement -